Wednesday, April 05, 2017

#isabella - BAB 21

Bawak-bawak banyak bersabar Bella. Langau memang begitu pun kerjanya, menyakitkan hati orang. Kalau aku hilang sabar bermakna dia dah menang. Sebenarnya dia tu Cuma nak buat aku hilang sabar, kemudian marah-marah dan buat tindakan yang bodoh.

"Apa awak nak sebenarnya?" Hilang sudah rasa hormatku pada wanita ini. Sungguhpun dia lebih berusia dari aku, tapi perangainya mengalahkan budak sekolah tadika. Jadi, untuk apa aku hormatkan dia lagi. Lagipun dia bukannya pensyarah aku. Kalau sekalipun pensyarah aku, dengan perangai tidak semenggah begitu, memang kirim salahlah untuk aku nak hormat segala.

"Aku nak Arsh." Lembut tapi berbisa!

"Tanyalah suami saya sendiri dia nak awak atau tidak?" Aku hela nafas penat. Sebenarnya terselit juga rasa risau bila ayat itu yang aku tuturkan. Dibuatkan along cakap yes, I need you Marissa. Haa, mau melopong aku. Menangis tujuh hari tujuh malamlah gamaknya. Haila bella...

Tapi, aku yakin dengan suami aku. Bila dia kata A, tiada lagi alphabet yang lain dia akan Nampak!

"Aku tahu dia memang nak aku. Kau saja yang jadi penghalang. Hey perempuan, ubat guna-guna apa yang kau calitkan pada Arsh aku haah?!" Angin dia kembali menderu panas. Ayat klise betul. Asal boyfriend kau dah tak suka kat kau, kemudian suka dekat orang lain. Mulalah tuduh yang macam-macam. Guna-gunalah, bomohlah, nasi kangkang bagailah. Come on lah, hidup zaman internet kut.

"Dah tak ada alasan lagi cerdikkah? Kata belajar sampai PhD?"

Aku Nampak rahangnya bergerak-gerak. Mukanya memerah menahan marah.

"Dia suami saya. Tak perlu saya nak guna-gunakan dengan segala benda syirik khurafat ini. Hanya dengan doa sahaja. Allah itu Maha Berkuasa. Maha Mendengar..."

"Eh sudahlah... jangan nak jadi ustazah sangatlah dekat sini. Kau tu jahat. Aku tau..." Aku geleng kepala mendengar setiap ayat yang diluahkan oleh perempuan ini. Sekali pandang serupa wanita sihir. Nauzubillah...

"Cuba mengucap..."

Marissa gelak. Memang Nampak Nampak macam gelak jahat sangat. Sampai merinding romaku. Sempat aku kerling along atas katil. Amboi, nyenyaknya dia tidur. Ini kalau aku bergumpal tergolek sampai lobi hospital pun belum tentu dia akan sedar. Haih, ubat apa yang along telan ni?

Gelak Marissa terhenti apabila pintu bilik dikuak dari luar. Mata kami sama-sama memandang. "Assalamualaikum..." Suara umi lembut namun langkahnya terhenti sebaik sahaja terpandang muka kami berdua. Dahi umi berkerut.

"Eh?" Angah Diba yang menyusul dari belakang juga tergamam. Serupa nampak hantu jadinya. Yang pastinya hantu itu bukan aku!

"Umiiiii..." Marissa terus berubah personality!

Dengan gaya manja yang aku rasa lebih pada tergedik-gedik dia menghampiri umi. Tangannya menarik tangan umi dan menyalami umi. Kemudian dia memaut lengan umi. Gaya manja abis, mengalahkan anak-anak umi sendiri.

"Umi... sihat? Marissa rindukan umi..."

Aku telan liur. Terasa aku jadi penonton sinetron yang beratus-ratus episodenya. Angah Diba, mata pun nak naik juling. Siap tayang muka menyampah lagi. Kemudian dia angkat-angkat kening dekat aku.

"Kamu buat apa dekat sini, Marissa?" Nada umi kedengaran tegas.

"Ala... Marissa melawat Arsh. Sian Arsh..."

Jujur, aku rasa nak muntah semula melihat aksi Marissa ini. Kepala pun terus rasa pening-pening juga. Silap haribulan, memang aku boleh jatuh sakit kalau macam ni. Seram sejuk dah tubuh badan aku.

"Bawak-bawaklah mengucap Marissa. Kamu ni dah serupa perempuan gila talak. Arsh tu dah jadi suami orang. Tuuu isteri dia, Bella. Udah-udahlah kamu kacau hidup Arsh. Kamu sendiri pun tahu Arsh tu macamana. Kerasnya hati Arsh. Sekali dia buat keputusan, sampai dia mati pun dia takkan ubah. Belajarlah untuk menerima hakikat yang Arsh dengan kamu sudah tak ada apa-apa lagi. Teruskan hidup kamu. Makchik dan keluarga sudah maafkan kamu. Makcik minta tolong sangat-sangat. Tolong jauhi anak makcik. Jangan jatuhkan maruah kamu sebagai perempuan. Makcik malu dengan perangai kamu sebab makcik ni perempuan. Jadi, sebagai perempuan makcik nasihatkan... teruskan hidup kamu. Cari bahagia kamu. Ada tu bahagia kamu dengan orang lain."

"Tapi... Arsh sayangkan Marissa." Dia siap hentak-hentak kaki dan tarik muncung. Lagaknya serupa anak kecil yang merajuk tidak dibelikan aiskrim. Sumpah, aku mula rasa sesuatu. Marissa ni split personality ker? Aku hantar telepati pada Angah Diba.

Angah, Marissa ni waras ke tidak?

Umi geleng kepala. "Kamu nak makcik temankan kamu ke klinik psikitri ker?" Soalan umi macam sindiran halus buat aku rasa nak ketawa pula. Tapi muka kena tahan maintain stone.

"Ni semua sebab perempuan tu, kan. Semua orang bencikan Marissa!" Eh, aku pula kena tuduh percuma. Mata dia menyala pandang arah aku. Hesy... kau ingat filem seram nak acah aku begitu. Sekalipun mata dia tu lain macam dah caranya.

"Tak ada sesiapapun bencikan Marissa." Bidas umi dengan muka tenang.

"Tapi... Arsh bencikan Marissa. Dulu, Arsh sayangkan Marissa." Dan... seperti dijangka dia buat drama air mata. Tersedu-sedan di bahu umi. Aku? Sedikit rasa percikan api cemburu. Entahlah, tiba-tiba rasa tergugat pula status aku sebagai menantu umi. Manalah tahu, umi cair dengan perangai empat musim perempuan bernama Marissa ini. Sukar dijangka betul perangai dia. Sekejap panas, sekejap dingin, sekejap itu, sekejap ini!

"Marissa bukannya bodoh. Marissa pandai. Belajar sampai PhD. Makcik rasa Marissa sendiri tahu sebab apa Arsh jadi begitu, kan?" Umi pandang muka aku, lama. Aku oles senyum tawar.

"Marissa sayangkan Arsh." Dia sudah ke fasa mengongoi pulak. Angah Diba geleng kepala seraya menarik muka menyampah. Yang itu pun sama je spesis dengan abang dia. Kalau dah tak suka, sampai ke sudah dia tak suka.

"Marissa Cuma nak Arsh..." Dia merengek lagi. Meluat, sumpah! Sekali lagi dia buat perangai kebudak-budakan. Serius, aku rasa Marissa ni ada masalah mental.

Rasa darah menyirap naik terus ke kepala! Silap haribulan aku boleh terkena darah tinggi kalau begini.

"Marissa!" Dia tersentak! Bukan kata dia, kami semua pun terkejut. Lelaki yang tampak seperti orang ada-ada ini menerpa masuk ke dalam bilik. Nampak peluh menitis atas dahi lelaki ini.

"Papa..." Oh, ayah Marissa? Datuk Ameer? Ya, seingat aku itulah nama ayah Marissa. Anak Datuk yang boleh aku kategorikan sebagai orang ada-ada.

"Papa... Marissa nak Arsh..." Dilepaskan pautan pada lengan umi sebelum meluru ke arah Datuk Ameer. Nampak manja betul anak datuk ni.

"Papa... perempuan tu jahat... Dia rampas Arsh." Tegak jarinya tunjuk kepada aku!

Amboi, kena tuduh lagi?

Penatlah macam ni, asyik kena tuduh je? Susah sangat ke nak faham konsep bahawa jodoh pertemuan itu semuanya urusan Allah SWT. Bertunang sampaikan menunggu masa untuk menikah sekalipun, kalau sudah bukan jodoh, maka takkan jadi juga. Bila yang dinamakan jodoh ini, jauh mana sekalipun tetap Allah akan dekatkan. Sebab tu kita selalu dengar, jodoh pertemuan itu kuasa Allah. Manusia hanya mampu merancang, Allah yang akan menentukan.

Manusia oh manusia, kenapa susah sangat nak hadam benda yang mudah?

"Ya... ya... Papa tahu sayang... Sekarang, sayang ikut Papa dulu... Kita makan ubat dulu ya. Marissa tak sihat ni, sebab tu Marissa jadi macam ni. Jom, ikut papa..." Datuk Ameer memujuk Marissa dengan penuh sabar.

"Bawaklah Marissa pergi Datuk. Saya nampak dia tidak sihat ni. Nanti berjangkit pula dengan semua orang dekat sini."

Dari situ aku nampak seperti ada permusuhan yang pernah terjadi antara umi dengan Datuk Ameer. Cara pandangan pun, saling menjeling. Cumanya pada aku, umi masih lagi berupaya untuk mengawal sikapnya.

"Ya, saya tahu itu. Minta maaf atas apa yang jadi." Suara Datuk Ameer, keras nadanya. Betullah mereka ni ada sesuatu.

"Jom Marissa..."

"Marissa nak Arsh..."

"Ya, Papa janji... Papa sendiri akan dapatkan Arsh untuk Marissa."

"Datuk!" Suara umi sedikit ternaik. Jangankan kata umi, aku sendiri terkejut dengan ayat terakhir lelaki ini. Baru nak puji tadi, tak jadilah.

Senyuman nipis yang tersungging pada bibir lelaki ini buat hati aku rasa tidak tenteram. Aku memerhatikan sehingga kedua anak beranak itu keluar dari bilik ini dengan perasaan yang berlibang libu, hanya Allah sahaja yang tahu.

"Bella..." Terkejut sekejap. Umi senyum padaku. Entah bila rasanya umi datang menghampir. Tangan umi aku salami dan ciumi dengan penuh kasih. Umi menarik aku dalam pelukannya. Belakang aku diusap dengan lemah lembut.

"Panas badan Bella. Demam ker? Ni mesti berjangkit dengan Along." Lembut ayat umi. Terasa sejuk kembali hati aku. Lega untuk separuh rasa yang ada.

"Bella okey..."

"Ni pucat. Sekarang, Bella berehat dulu. Dah makan?" Aku geleng. Memangpun belum makan. Tak ada selera. Ini dengan drama sinetron yang tadi tu, lagilah terbang melayang selera ku. Cepatlah aku kurus kalau begini.

"Pergi makan. Angah, teman kak long makan. Biar umi jaga along."

Umi tolak lembut badan aku. Manakala angah diba tarik tangan aku supaya mengikutinya. Malas untuk bercakap apa-apapun, jadi aku ikut sahaja. "Bella, jangan fikirkan sangat. Selagi umi hidup, inshaAllah umi akan pastikan Bella dengan Arsh akan berbahagia."

Aku kembali mengukir senyum. Ayat-ayat umi cukup mendamaikan jiwa. Cukup membantu dadaku lapang-selapangnya. Janji seorang ibu, inshaAllah aku tahu... ada reda Allah di situ.

Angah Diba membawa aku ke kafe hospital. Dengan bau masakan yang bercampur-aduk, kepala aku mula rasa pening. Terus aku menonong mencari tempat duduk di kawasan paling hujung sekali. Angah pula beratur membeli air dan makanan. Belilah apa sahaja. Aku tak kisah, selera tumpul masa sekarang.

Rasa nak baring saja. Kalaulah dapat berbaring atas meja makan ni pun aku rela. Haih, nampak sangat aku paksa diri sahaja. Aku meletakkan kepala atas meja. Pejam kata. Kedua tangan menekan perut yang terasa sebu. Kena cari sinki terdekat nampak gayanya ni.

"Tea o limau suam."

Aku angkat muka. Senyum kosong. Tanda terima kasih.

"Kak Long okey?"

Aku angguk. Kemudian pejam mata, sandarkan tubuh ke kerusi. Tangan picit dahi.

"Pucat je ni. Nanti kak long balik, rehat. Angah temankan. Along tu biar umi jaga dulu."

Dengan suara serak aku bersuara juga, "Tak apalah... Kak long okey lagi."

"Kak long ni mesti gagalkan paper menipu."

Nak gelak pun tak ada rasalah angah. Hanya dada yang berombak sendat sahaja menandakan aku masih mampu mencuri nafas yang ada.

"Jangan risau pasal Datuk jahat tu. Kak long kena percayakan along. Datuk tu entah bila nak insaf. Tak sudah-sudah mahu menyusahkan along." Getus angah dengan nada geram. Dalam penat tapi aku berminat.

"Maksud angah?" Tubuhku dipaksa untuk tegak.

"Dulu masa along buat hal yang tak jadi nikah, datuk tu sekat rezeki along. Tiba-tiba sahaja along kena pecat dari kerja. Masa tu along kerja dengan kawan Datuk tu. Dia gunakan kuasa dia untuk minta bos along, pecat along. Siap ugut lagi. Menganggur along. Dah la frust kemudian kena buang kerja. Nampak along down sangat masa tu. Kemudian umi bawa along pergi buat umrah. Kata umi, nak ubatkan hati along yang kecewa. Walaupun kita orang tak nampak tapi kita orang tahu, along kecewa sangat-sangat. Lepas balik umrah tu, along terus dapat kerja tetap dekat JKR. Alhamdulillah, rezeki."

Angah Diba tarik nafas.

Begitu... jahatnya Datuk Ameer tu, kan? Muka nampak baik je. Spesis ayah penyayang tapi dalam pada yang sama sanggup menghancurkan hidup anak orang lain. Haih, wujud juga manusia macam ni kan.

"Jadi, kak long jangan risau ya. Along tu dah cinta maut dekat kak long."

"Hati manusia ni angah... kita tak tahu." Keluhku.

"Tapi hati manusia ni Allah yang pegang. Doa dan yakin pada Allah. InshaAllah, jika kita minta yang baik-baik, Dia akan makbulkan. Yang penting, jangan putus asa dengan rahmat Allah." Pesan angah seraya memegang tanganku.

Ya, manusia selalu lupa untuk berdoa sedangkan Allah sangat sukakan hambaNya berdoa dan meminta-minta padaNya. Kita saja yang buat bodoh sombong. Hai, akulah tu.

"Bila nak bagi angah anak buah ni?"

Amboi... sempat lagi tu bagi soalan dekat aku. Anak buah maknanya, anak aku dengan along? Tiba-tiba rasa macam teringin pula nak mengandung. Hmm... along dan aku sudah bersediakah untuk jadi ibu dan ayah?

Macam best pula bila fikir. Abang, nak anak tak?


No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...