Wednesday, April 05, 2017

#isabella - BAB 22


Along sudahpun sihat dan diberikan cuti tambahan lagi dua hari. Seronoknya hidup bila dapat cuti. Rasa nak minta sumbangsih cuti barang sehari dekat along. Tukang jaga dekat hospital dapat cuti jugak tak? Berangan ajelah. Budak-budak serumah pun dah mula bising. Ada juga la dua tiga kelas yang aku terpaksa ponteng. Kemudian dengan projek tahun akhir yang aku rasa suku pun belum cecah.

Rasanya, aku pula yang bakal jatuh sakit nanti!

"Bella, sihat?" Itu soalan pertama dia sebaik sahaja aku singgah di rumah sewanya. Umi dan Angah Diba menemankan along. Lagipun angah Diba kebetulan mengambil cuti. Ralat jugaklah aku tidak boleh menemankan along. Patutnya ini semua tanggungjawab aku sebagai isteri. Menjaga makan minum dan pakai along.

Zikr pula baik hati untuk menumpang rumah saudara dia untuk satu minggu. Segan agaknya bila umi dengan angah diba ada dekat rumah. Umi pernah berbisik dekat aku, mujur saja angah diba sudah bertunang kalau tidak memang ada bunyi-bunyi umi nak kenenkan angah diba dengan Zikr tu. Haila, umi sudah terpikat dengan mamat tu pulak. Tak apalah, kemudian hari adalah tu jodoh yang baik sedang menunggu Zikr.

Beg sandang aku letakkan atas katil. Masuk sahaja ke dalam rumah, kepala aku terus pening bila tercium bau serupa masakan kari. Agaknya umi yang masak kari. Cepat-cepat aku naik ke tingkat atas, kalau tunggu lama lagi risau boleh tumbang pulak.

"Pening." Along yang baru sahaja keluar dari bilik air, hanya bertuala dan memakai tee mendekati aku. Tangannya naik ke dahi kemudian leher.

"Abang ada wuduk ker? Kan dah batal?" Rasanya masa aku sampai tadi azan Asar sedang elok berkumandang dari surau di taman perumahan ini. Mestilah along sedang berwuduk.

"Tak apa, nanti ambil semula. Dedar je badan Bella. Dari abang masuk hospital sampai keluar hospital. Bella juga yang tak sihat-sihat ni. Jom pergi klinik, nak?" Ajakan entah kali keberapa dengan jawapan yang sama. Laju aku menggelengkan kepala.

"Okey je ni... Biasalah... Penat agaknya."

Along tanpa disuruh mula memicit bahu aku. Nikmatnya. Terasa hilang lenguh-lenguh. Kepala yang terasa berpusing-pusing juga makin kurang rasanya. Aku pejamkan mata. Cuba untuk melepaskan lelah dalam diam.

"Degilnya isteri abang ni... Esok kalau melarat macamana?"

"Abang sayang Bella, tak?"

Dari aktiviti memicit bahu, dia merebahkan tubuhku. Matanya memandang tepat ke mata layu aku. Orang tengah penat ni cik abang. Salah masa la kalau nak beromantika. Tak ada mood langsung. "Berapa kali abang cakap, jangan tanya abang sayang Bella atau tak..."

Aku tersengih. Okey, salah aku. Along dah bagi amaran, jangan tanya dia sayang aku atau tak. Pantang bagi dia. Sayang tu tak semestinya selalu keluar dari mulut. Lebih baik perati tingkah laku, itu lebih membuktikan.

"Nak juga dengar perkataan sayang ker love you ker dari mulut abang." Tak tahulah kenapa, mood mengusik pula yang singgah. Biol otak aku gara-gara bau kari ayam tadikah?

Along senyum senget, "Bagi rasa cinta dengan sayang tu, nak?" Ceh, ke situ pulak dia!

Suara sudah lain nadanya. Lebih pada mengada-ngada. Pantang betul orang baru sembuh dari demam ni. Terlebih dos ubat agaknya, tu yang gatal semacam. Aku mencebik tanda geram.

"Asar, jom. Lama tak berjemaah dengan abang." Aku bingkas bangun dan menolak tubuh kekar along. Haila, mata silalah bertabah. Badan bekas pemain rugby ni lain macam kerasnya. Sedap mata memandang. Sedap untuk dicubit-cubit kalau tuan dia tak faham-faham bahasa!

"Ngelat ya..." Laju aku bangun. Terasa gelap terus pandangan aku sekejap.

"Abang!" Terjerit halus aku sebelum tubuh rasa melayang. "Bella! Allahuakhabar." Mujurlah along sempat memaut tubuhku dari jatuh. Along dudukkan aku di birai katil. Nafasku terasa sesak. Pandangan yang gelap tadi beransur pulih. Aku mula nampak keadaan bilik dan muka along yang terbias rasa risau.

Senyum kosong. "Sejuk badan Bella."

Aku cuba atur pernafasan dengan tenang. Gara-gara nak lari dari along, terus aku pitam. Ker sebab aku mengelak dari menunaikan hajat suami? Terus dapat hukuman secara tunai.

"Pucat muka ni. Jom kita pergi klinik!"

Along sudah menggesa. Tak tahulah kenapa, berat betul aku nak bersetuju untuk ke klinik. "Nanti-nanti boleh? Bella nak rehat kejap." Along tarik muka ketatnya. Tahu, dia risaukan aku. Tu pun cirri-ciri dia sayangkan aku, kan?

"Abang, bella minta ampun. Mungkin tadi tu Allah bayar cash sebab Bella lari dari abang." Tangan along aku capai dan aku kucup.

"Abang fahamlah keadaan Bella. Abang usik saja tadi. Takkanlah abang nak paksa Bella. Nampak pun tahu Bella tak cukup rehat. Muka pucat ni... risau abang. Jangan risau... abang tak marahkan Bella." Rasa lega seluruh hati aku mendengar jawapan along. Yelah risau juga kalau-kalau hanya disebabkan keinginan dia aku tolak, menjadikan aku ditimpa perasaan bersalah selagi dia tidak ampunkan aku.

Tangannya naik mengusap kepala aku. "Jadi suami isteri kena ada tolak ansur. Memanglah nafsu tu satu tuntutan tapi kena ada persetujuan antara suami isteri. Tak boleh paksa-paksa. Tujuan memenuhi nafsu adalah untuk kesihatan kedua pihak. Jangan satu pihak sahaja yang sihat, yang satu lagi sakit terseksa. Islam itu indah. Itu yang Islam ajar kepada kita."

Tenang hati aku mendengar kata-kata along. "Dah boleh masuk Pencetus Ummah ni." Sempat aku berseloroh. Along geleng kepala dan cuit hidung aku.

"Cukuplah abang jadi Pencetus Ummah untuk Bella dan anak-anak kita."

Amboi, masa depan dia sebut. Bukan singular tapi plural. Bersedia ker aku dengan along untuk menjadi ibu dan ayah kepada anak-anak kami nanti? Along mungkin nampak sudah bersedia. Aku? Tanggungjawab sebenarnya untuk dijaga dengan sebaik-baiknya. Andai mak ayah pincang dalam menjaga amanah ini, maka berdosa besar hukumnya.

"Abang nak anak?" Sedikit berkerut dahi along.

"Bella mengandung?" Eh, dia pula soal aku.

"Belum lagi rasanya..." Tiba-tiba rasa sayu sendiri. Mungkinkah sebab aku pernah berkata belum mahu anak lagi sebab nak habiskan belajar, jadi dilambat-lambatkan rezeki anak itu untuk kami berdua. Macamana kalau sampai ke sudah aku tak mampu untuk mengandung? Sedihnya!

"Kalau Bella tak mampu nak bagi abang anak?" Rendah suara aku. Tak mampu aku nak bayangkan hidup berdua dengan along sepanjang hayat. Along tu jenis sukakan kanak-kanak. Nampak sangatlah. Bila berkumpul dengan keluarga ramai-ramai, suka betul dia jadi babysitter anak-anak sepupu.

"Abang nak tinggalkan Bella?" Aku mula diserbu rasa sebak. Bergenang sudah air mata. Hanya menunggu masa untuk turun.

"Abang akan cari isteri lain..." Ayat aku sendiri yang serasa seperti peluru pistol kena tepat pada jantung aku. Mati segala angan-angan aku untuk hidup berbahagia selama ini dengan along.

Air mata mengalir berjurai-jurai membasahi pipi. Kabur pandangan mataku.

Tiba-tiba terasa tubuhku dipeluk kemas. Lama. Air mata aku terus mengalir sehinggalah akhirnya aku tersedu-sedan pada bahu along yang mendiamkan diri sejak tadi. Hanya tangannya sahaja mengelus belakang aku.

"Dah okey?" Dia merenggangkan pelukan. Tangannya menyeka pipi aku yang basah.

Aku senyap. Kenapa tiada respon along? Adakah ini cirri-ciri yang aku perlu berwaspada dengan segala kemungkinan yang akan terjadi. Along akan meninggalkan aku. Atau, paling tidakpun dia akan menikah dengan perempuan yang lebih subur untuk memberikan dia zuriat. The end, dia akan berbahagia. Aku? Jadilah perempuan yang penghujung nyawa kesunyian dan kesepian!

"Pandang abang." Dia pegang daguku dan menolaknya ke atas supaya aku memandang mukanya.

"Sayang... Setiap pasangan yang menikah tidak pernah dijanjikan untuk mempunyai anak. Dan, syarat untuk masuk ke syurga bukannya memiliki anak. Andai abang dan Bella tiada rezeki anak, tak apalah. Buat apa nak dikeluhkesahkan. Bukan dekat dunia ni, kita saja yang belum ada anak. Ramai lagi. Malah ada yang diuji berbelas tahun mengharapkan seorang anak. Nabi Zakaria tu, sampai tua barulah doanya dimakbulkan Allah. Apa yang penting, jangan putus harap. Jangan gagal untuk berdoa. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Kita kena yakin."

Pencetus Ummah Arsh bercakap ya.

"Abang lelaki, abang boleh menikah sampai empat."

Logikkan? Sampai masa dia akan menggunakan kuasa veto untuk mendua, atau mentiga malah mengempatkan aku! Jauhnya tersasar pemikiran seorang Bella. Rasa senak pula perut sendiri bila memikirkannya.

"Itulah dia perempuan. Pantang cuit bab anak, terus jatuh hokum boleh kawin sampai empat. Hallo sayang, nak sangat ker abang kawin sampai empat?"

Tarik muncung! Soalan tu memang minta kena cubit. Keji gila along!

"Seorang isteri takkan menjarakkan abang dengan syurga. Empat isteri berkemungkinan menjejakkan kaki abang ke neraka. Antara syurga dan neraka, abang pilih syurga. Ni yang kat depan abang, adalah syurga untuk abang. Hadiah dari Allah untuk abang jaga. Tak sampai hati abang untuk menduakan Bella tau. Abang ada umi, dan abang ada adik perempuan. Madu itu manisnya hanya untuk lelaki. Manis yang bersifat sementara. Tapi hakikatnya bermadu itu menyakitkan bagi perempuan. Sebab itu, tidak terlintas untuk abang buat begitu pada Bella. Abang tak nak hati umi dan adik perempuan abang terluka kalau jadi pada mereka. Abang yakin satu perkara. Kalau abang anaiya Bella, Allah akan balas pada keluarga abang."

Mataku berkaca-kaca mendengar taalim sebelum Asar ini. Nampak jujur dan ikhlas. Percaya? InshaAllah, aku percaya.

"Abang lelaki biasa sahaja Bella. Yang berpoligami itu lelaki luar biasa. Biarlah abang Cuma menjadi lelaki yang biasa sahaja pada Bella. Sebab hanya Bella sahaja yang layak untuk menerima cinta luar biasa abang, kan?"

Speechless!

Lama aku tatap mata bening along. Terpancar seribu satu keikhlasan. Mata tidak pandai menipu. Hati juga tidak mampu untuk menidakkan rasa sayang dan cinta yang semakin subur untuk suami aku.

"Hanya Allah yang tahu bila masa sesuai untuk memakbulkan doa kita. Yang penting jangan putus harap dan jangan culas berusaha. Faham isteri abang yang comel hidung merah macam badut cantik ni?"

"Abang jahat!" Dadanya aku pukul manja-manja. Penat buat drama tau. Siap nangis-nangis macam nak banjir dah Shah Alam ni. Touching waktu remang-remang asar ni boleh menghuru-harakan jiwa dan raga seorang Isabella Rose Nurani.

"Sekarang fasa honeymoon. Allah nak kita saling kenal mengenal. Kita belum betul-betul jatuh cinta lagi. Sekaranglah masanya untuk kita bercinta. Satu pesan abang, jangan mudah mencurigai Allah. Jangan amalkan perkara itu. Sentiasa bersyukur. Itu yang paling utama. Faham tak Bella?"

Aku angguk. Mata mengerling jam pada dinding. "Baiklah ustaz. Dah lewat ni, jom la..."

"Jom apa tu sayang?" Dia kenyit mata nakal. Mulalah tu...

Aku bingkas bangun. Along pun sama. Kalau aku buat perangai budak-budak sikit, okey tak? Amboi Bella, mentang-mentanglah kau dah sihatkan? Dapat ubat paling mahal, sihat teruslah jadinya.

"Jommmmm..." Sengaja aku leretkan suara.

Tangan aku mencari sasaran!

Satu! Dua! Tiga!

"Solat!" Terus aku rungkaikan simpulan tuala along dan cabutttttt!

"Bella!" Selamat aku di dalam bilik air dengan tuala along di tangan. Senyumku pecah membunga. Seronok 'bergurau' dengan suami ya.

"Tunggulah Bella keluar nanti..." Suara di balik pintu galak mengusik dengan geram. Ketukan bertalu-talu. Ngee... sayang abang!


No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...