Wednesday, March 15, 2017

#isabella - Bab 3 & 4

Usai solat berjemaah, sesi salam bersalam. Makanya marilah kita salam mak mentua tersayang kita, adik-adik ipar perempuan yang dikasihi dan... suami kita yang paling garang. Bak kata adik-adik, along ni sanak saudara Adolf Hitler!
            Aku hanya mampu senyum dan reda. Hitler pun Hitler,lah. Dah selamat pun jadi suami aku dekat nak setahun. Allah Maha Kuasa. Allah empunya semua cerita. Siapa sangka lelaki yang tuanya sepuluh tahun ini menjadi suami aku. Budak lelaki yang selalu aku kutuk-kutuk dengan Alex sebab gayanya yang nerdy, rupa-rupanya jadi kekasih halal aku.
            Erk, kekasih halal?
            Kalau kekasih, akronimnya dengan perkataan romantik.
            Tapi, kekasih halal aku ni romantik dia masa...
            “Kak Long.” Suara Diba buat aku tersentak. Jauhnya aku mengelamun. Masuk memory lane tu amat membahayakan betullah.
            Aku pandang depan. Along Hitler hulur tangan. Aku sambut dan mengucup tangan dia. Dan, inilah dia bahagian penyudah yang aku paling suka. Gedik hang Bella! Aku gedik halal. Tak kacau orang. Tak kisahlah.
            Dia tarik aku dalam pelukannya. Bibirnya mendarat lembut atas dahiku!
            Yakin, yang ini bukan sebab terpaksa atau sebab umi dan adik-adik tengah jadi saksi. Kita ni boleh tau kalau orang tu terpaksa atau rela. Kalau nak ikutkan memanglah malu tapi dia boleh selamba derk aje, makanya takkan aku nak tunjuk perangai malu entah apa-apa tu, kan.
            Seronoklah, suami kiss dahi!
            Nampak muka suci seorang suami. Tenang dan penuh dengan kasih sayang. Terpancar cahaya hidayah kat mukanya. Ngee...
            Setiap kali dia letakkan bibirnya atas dahi, automatik rasa sejuk semacam. Dingin. Macam aku tengah berdiri depan pintu syurga, gitu. Sebab itulah aku seboleh mungkin tak nak terlepas solat berjemaah bila balik ke rumah umi.
            Dia lepaskan tautan jemari aku. Melakukan tugasannya, melipat sejadah yang digunakan. Dan, aku menjadi pemerhati kehormat pada setiap tingkah dia. Hati aku ni dah debuk debak jadinya.
            Kacaknya!
            Jujur, memang aku dah jatuh hati tergolek terguling dari hujung kampung ke hujung kampung sebelah.
            Dia jatuh hati tak dengan aku?
            Err...
            Rugilah tak jatuh hati dengan isteri dia yang comel ni. Rugi sangat-sangatlah!
            “Kak Long, romantikkan along.” Aku kalih kanan. Angah Diba sengeh. Biasalah kami berdua, ada je isu jadi bahan.
            “Bulu roma tegak!” Kami pakat gelak. Kemudian terasa macam ada laser terpanah dekat kami. Pakat-pakat kalih. Erk, Along Hitler is coming!
            Apa lagi, berlari kami masuk ke dalam bilik sebelum Along Hitler bukak mulut. Ada yang rentung terpacak dekat ruang tamu karang. Gelak sakan Alang dengan Achik saja buat kami geram. Sebelum kami terdengar suara halilintar!
            “Sapu laman! Kemas laman! Cepat!”
            Dan, aku dan angah Diba pula yang ketawa. 

“Cepatlah sikit. Terhegeh-hegeh!” Aduh, berdesing telinga aku mendengarnya. Sempat aku menjeling dia yang sudah siap menggalas begnya yang hanya sebuah itu. Eleh, macam aku tak tahu. Baju tee yang nipis, beberapa helai tu dia main sumbat aje. Memanglah cepat kalau nak banding dengan aku.
           
            “Balik kampung dua hari macam balik dua tahun.” Dia bebel lagi sambil pandang bagasi comel aku yang masih terhidang atas katil. Ces, memerli nombor satu.
            “Kalau tak nak tolong, mulut tu diam.”
            “Lain kali jangan nak berangan jadi rapunzel kalau dah tahu diri tu buat kerja lambat.”
            Aku gigit bibir bawah. Tu sebab tak dapat nak gigit along Hitler!
            Dia lelaki, aku perempuan.
Beza sangat tu. Perempuan ni barang dia satu badan punya persalinan. Ada dia pakai bra? Ada dia pakai kain alas dalam kalau skirt labuh tu kainnya jarang? Paling senang, kepala dia ada pakai tudung? Togel dengan fesyen rambut shagun dia tu!
            Dia pakai baju tee dengan seluar jeans yang dah sebulan tak berbasuh pun orang takkan kisah. Tak ada siapa pun nak kecoh-kecoh. Hatta, pakaian dalam tu recycle seminggu dua. Kalau aku? Pakai tudung sama yang semalampun, housemate aku dah riuh. Gaya pemalas sungguh!
            Jadi, tak payahlah nak sound setepek dekat aku!
            Sengaja aku buat lambat-lambat. Rasa malasnya ya ampun nak balik ke Shah Alam. Itulah feel aku. Masa nak balik sini, lajunya bukan main. Sejam aku tunggu mamat tu dekat bus stop. Dia sikit pun tak minta maaf. Geram betul aku.
            “Umi, Bella balik dulu ya.” Tangan umi aku salami. Kemudiam cium kedua pipi umi. Kemudian sama-sama buat drama air mata berminit-minit. Angah Diba pun tumpang sekali.
            “Nanti, Bella balik lagi bila cuti.” Umi angguk.
            “Nanti umi doa-doakan Bella ya.” Umi angguk.
            “Umi!” Peluk lagi sekali umi tersayang. Tahu-tahu, ada tangan yang menolak tubuh aku tanpa izin. Eh eh!
            “Tepi sikit. Macamlah umi dia sorang.”
            Aku kertap gigi. Kacau betullah mamat ni!
            “Along ni...” Padan muka, kena cubit dengan umi.
Dengan langkah berat, aku masuk ke dalam kereta. Capai tisu. Lap air mata. Buang hingus. Kemudian, tukang bawak kereta masuk. Cool. Dengan cermin mata hitam style kesatria baja hitam.
“Tisu tu jangan buang merata.”
Pesan dia dengan nada datar. Eleh!
Belum sempat baca doa meneruskan perjalanan, kereta Honda City merah menyala ni menderu enjinnya. Meluncur laju sampai aku tersandar ke kerusi penumpang.
Sabar Bella, sabar itu separuh dari iman.
Aku jeling muka dia. Haih, penatlah nak bergaduh. Aku nak tidur!

Kami sampai ke Shah Alam lima jam kemudiannya. Dua kali berhenti dan si dia tayang muka tidak puas hati dekat aku. Apa? Tuntutan alam kut, mana boleh tahan. Dah pasang penghawa dingin sejuk nak gila, mahunya aku tak terasa nak terkucil. Saja nak mendera aku betul.
            Dia tukar gear. Aku pandang kiri kanan. Betullah, dah sampai.
            “Nak salam.” Macam biasa aku hulur tangan. Dia sambut tapi tanpa pandang muka aku. Tak apalah. Macam tak kenal. Balik sahaja ke Shah Alam, dia macam jadi orang lain.
            Selesai acara salam suami, minta berkat nak belajar.
            Aku tarik pemegang pintu. “Tunggu!”
            Aku senyum dalam hati. Dah boleh agak sebenarnya.
            “Nah.” Dia hulurkan empat keping not RM50. Nafkah mingguan. Aku tak pernah minta tapi memang dia tak pernah tak bagi. Umi pesan, aku kena terima apa pun yang along bagi. Jangan tolak. Walaupun, aku sendiri ada duit.
            “Terima kasih.”
            Dia tiada respon. Okey. Aku keluar dan menarik bagasi aku.
            Kereta meluncur laju meninggalkan aku di tepi jalan. Nafas aku hela perlahan. Menyedut oksigen bandar Shah Alam. Tabah Bella. Semester akhir!
            Lepas ni balik kampung, duduk dengan umi.
            Err, suami?
            Aku sengeh sendiri. Beginilah nasib seorang Bella.

Rumah sewaku dekat lorong ketiga. Makanya menapaklah aku untuk ke rumah sewa yang berselang lima lorong dihadapan. Boleh tahan jugaklah jauh. Mamat tu takkan pernah berhenti betul-betul depan rumah sewaku. Hujan ker ribut, pandai-pandailah aku cari jalan balik sendiri.
            Senang cerita, aku pun taklah terhegeh-hegeh nak suruh dia hantar sampai rumah. Kena juga berdikari. Mana tahu esok-esok dia tinggalkan aku, haa... melongolah aku tengok langit kelabu. Jadi, baiklah aku bersiap sedia kentalkan hati. Kan?
            Aku ni dah la isteri bukan pilihan hati dia. Macam-macam kemungkinan boleh jadi. Memanglah dia tak cakap pasal bukan pilihan tu, tapi sendiri fahamlah. Body language pun aku dah faham.
            Anggap jelah kau sedang exercise Bella.
            Anggap jelah kau sedang berusaha nak kurus walaupun kau keding je.
            Eh, ada kereta berhenti betul-betul sebelah aku. Tersirap juga darah, manalah tahu. Orang nak culikkan? Common sense. Semua orang boleh terfikir yang itu.
            “Bella...”
            Lembut suara memanggil nama aku. Nak tak nak aku tundukkan badan juga. “Abang Zikr.” Lelaki berlesung pipit ini tersenyum manis.
            “Nak ke mana?”
            “Balik rumah.”
            “Jom, abang hantar.”
            Telan liur. Tak sudi!
            “Dekat je, tak pe.” Aku maniskan muka. Cepat-cepat tolak bagasi.
            “Tak sudi? Takut boyfriend marah ke?”
            Bukan, takut laki saya yang marah!
            “Taklah. Bella nak exercise... Petang-petang ni sesuai buat aktiviti jalan kaki ni.”
            Keretanya bergerak perlahan sahaja. Mengekori aku. Sumpah, betul-betul rasa macam nak kena culik dengan senior aku yang sorang ni. Zikr ni budak master juga. Lepas habis ijazah pertama, dia terus sambung ijazah kedua. Nak jadi cerita, satu kelas dengan along hitler. Tambah lagi cerita, duduk serumah pula tu!
            Macamana aku tahu?
            Ini Bella, setakat nak stalk suami sendiri. Kacang je!
            “See... dah pun sampai. Terima kasih temankan Bella exercise ya.”
            No flying kiss segala. Cukup sekadar aku tayang senyum saja. Terus cabut masuk ke laman rumah sewa teres setingkat ni.
            “Bella, awak ni tak pernah buat abang tak jatuh suka.”
            Da! Da! Da!
            Aku angkat tangan. Lambai separuh, dan mata meliar ke hujung jalan.
            Eh, ada Honda City warna merah.
            Eh, pemandu dia pakai reyban hitam.
            Dan aku?
            Lari masuk rumah terus.

            Siapa stalk siapa ni Bella oiii!!!

1 comment:

  1. Anonymous5:26 pm

    Alahai Cik ZZ 🎆 semput NIH...React smile dgn like dulu😘😅😅😅

    ReplyDelete

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...