Wednesday, March 15, 2017

#isabella - BAB 6

Rasa macam orang sasau dah ni. Tak tentu arah. Duduk tak kena, berdiri pun tak kena. Baring pun tak selesa. Penyudahnya, tengah-tengah pagi buta ni aku bangun dan berteleku sendiri atas katil sementelah yang lain semuanya masih lagi hanyut ke alam mimpi.
            Teringat-ingat kejadian lawak yang tidak kena tempat tu. Mulalah aku rasa tak aman hidup ni. Yelah, sedikit sebanyak benda tu beri kesan juga dekat aku. Rasa macam aku ni melampaui batas yang sepatutnya. Huwaaa... umi, tolong Bella!
            Pukul tiga pagi!
            Aku belek telefon pintar di tangan. ‘Along Hitler’. Sejak setengah jam tadi, aku tenung saja nama sebaris yang aku dah simpan dalam senarai nombor telefon. What to do Puan Isabella oii? Kalau tenung je, takkannya boleh selesai masalah pun. Tambah sakit kepala adalah kut.
            Aku ingat pesan arwah daddy masa lepas sahaja majlis akad nikah. Jaga hati suami. Sekarang ni kunci syurga Bella bukannya ada pada daddy dah. Encik Arsh Raaiiq yang simpan. Hak milik pun bertukar. Jadi, aku perlu patuh, perlu jaga nama baik dan paling utama kena jaga hati seorang suami.
            Allah. Aku meraup muka. Betullah, aku dah sakitkan hati along hitler. Kalau tidak, mana mungkin aku jadi gelisah macam ni. Silap haribulan, aku boleh jatuh sakit kalau tak selesaikan hal ini.
            Call dia?
            Aku tengok jam. Tiga pagi kut. Entah-entah orang tu tengah tidur. Kacau orang. Wrong timing. Kena maki pun boleh jadi jugak.
            Dah tu?
            WhatApps?
            Err... bolehlah juga.
            Skrin kosong tambah huru-harakan hati aku. Apa nak taip ya?
            Lama kut aku fikir sampai 15 minit!
            Penyudahnya, aku taip... Sorry.
            Send.
            Itu je ayat yang mampu aku taip. Nak karang berjela ni susahlah. Along Hitler dengan aku, komunikasi terhad. Jadi, dia dengan aku tak pernah nak buat adegan sentap bagai. Tak tahu macamana aku nak memulakan ayat memujuk. Err, dia merajuk ker dengan aku?
            Entah.
            Kau dah kenapa Bella?
            Tit... Pergh, ada balasan. Dia tak tidur ker? Atau terganggu dengan mesej aku tadi? Atau, dia tengah bertahajud, mungkin? Debar betul nak buka dan baca jawapan balas dia. Risau yang macam-macam ada ni. Jantung pun bukan main laju lagi berdengup. Kalah orang lari 800 meter berganti-ganti!
            ‘Okey.’
            TU JE?
            Terkebil-kebil mata aku membaca sepotong ayat itu. Jatuh bahu aku. Lagilah tambah tak sedap hati ni. Perkataan okey tu sebenarnya tidak okey ya.
            Nak balas lagi? Telan liur.
            Tapi, along balas okey. Dia tak nak memanjangkan cerita agaknya.
            Aku bingkas bangun. Baik aku solat dulu. Tenang-tenangkan fikiran. Mungkin betul, along tu OKEY. Aku je yang mengada-ngada seribu satu rasa.
            Along is okey.

Betullah, aku yang tak okey-okey! Sampaikan nak buat apapun serba tak kena. Sampaikan DD, Elia, Adel dan Lia pun boleh perasan semua ni.
            “Air apa ni? Masin.”
            Aku angkat muka. Tadi aku bancuh air milo dalam teko.
            “Masinnya. Del, kau nak niayakan kami ker?”
            “Eh, bukan akulah. Bangun-bangun dah siap semua sarapan ni.”
            “Ni nasi goreng bila ni? Mentah je nasi dia.” Komen Lia pula.
            Aku dah makin menunduk. Kemudian terperasan yang mata semua sedang memandang aku.
            “Aku yang bancuh air. Nasi tu pun aku yang sediakan. Sorry.”
            Aku mahu bangun tapi Adel capai tanganku terlebih dahulu. Memaksa aku jangan melangkah. “Kau ada masalah?” Aku angkat muka. Geleng. Senyum sehabis tawar.
            “Kalau ada masalah, please share... Kita orang ni dah lama kenal dengan kau, Bella.”
            Masa ni memang aku rasa nak nangis!
            “Please, Bella...”
            Aku gelengkan kepala. Tak nak menyusahkan mereka. Lagipun hal ni besar. Nanti lain pula ceritanya nanti. “Jangan risau. Aku okey. Mungkin sebab rindu arwah daddy dengan mommy aku.” Itu je alasan yang boleh aku berikan.
            “Jumaat nanti kita buat bacaan yasin, nak tak?” Cadang Elia disambut anggukan semua.
            “Thanks semua...”
            Maafkan aku kawan-kawan. Maaf sebab terpaksa menipu.

Hari ini kami tak ada kelas. Khamis adalah masa rehat kami untuk buat tugasan atau mengulangkaji pelajaran. Awal-awal lagi aku sudah ke perpustakaan. Konon, mahu mengulangkaji. Walhal, tentu-tentu takkan menyerap dalam otak aku kalau otak pun tengah serabut.
            Buku-buku tebal aku biarkan sahaja. Dah bukak tadi, tapi nampak macam semua abjad-abjad bagai berterbangan je. Pening terus kepala aku. Tiba-tiba aku ternampak satu majalah agama yang entah bagaimana terselit dalam buku teks. Mungkin tersalah ambil.
            Baru nak letak dekat tempat buku, mata terperasankan satu artikel.
            Isteri yang menyakiti hati suami.
            Telan liur aku. Payau. Pahit.
            Aku selak mukasurat yang dinyatakan. Mata melirik pada setiap baris ayat. Masa inilah aku rasa jantung aku bagai terhenti berdengup.
            Nabi Muhammad SAW ketika melalui peristiwa Israk dan Mikraj, membuatkan Baginda Rasulullah menangis setiap kali mengenangkannya.
            Dalam perjalanan itu, antaranya Baginda diperlihatkan dua orang perempuan yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Itulah balasan kepada isteri-isteri yang suka menyakiti hati suami mereka dengan kata-kata mereka.
            Begitu antara intipati artikel yang ditulis oleh salah seorang ustaz.
            Aku dah rasa nak pitam!
            Ya Allah, sampai begitu sekali balasannya. Terbayang-bayang seksanya hukuman itu andai dilakukan ke atas diriku. Sakit usah dikata. Sedangkan saat membaca pun aku dah rasa ngilu tubuh.
            Tersandar aku kerusi. Aku dah sakitkan hati suami aku!
            Ya Allah, bagi aku peluang untuk memohon ampun dari suamiku. Kata orang, maut tu takkan pernah terlewat mahupun tercepat waima satu saat. Kalaulah ditakdirkan nyawaku dicabut saat aku belum betul-betul dapat maaf dari along hitler?
            Along Hitler?
            Entah-entah nama tu pun dia tak suka. Aku yang main taram panggil  begitu. Kan dah menyakiti hatinya juga?
            Aduh, rasa macam bertimpa-timpa dosa dah ni. Senget bahu aku.
            Ya Allah, bagi masa ya Allah.
            Aku menerkup muka. Perasan ada air mata yang mengalir. Mujurlah aras ni tak ramai orang. Dan mujur juga aku sorang saja tanpa budak-budak serumah yang lain.
            Tangan aku turunkan. Cari tisu. Lap air mata. Tak nak pandang kiri kanan.
            Dari hujung koridor, mataku terperasankan seseorang. Rambut gaya shogun! Siapa lagi dekat kampus ni yang sudi bergaya rambut begitu ya. Hanya makhluk Allah yang sorang tu. Bibirku mengoyak senyum tanpa sedar.
            Cepat-cepat aku bangun. Rasa nak terbang ke sana. Cepat Bella, Allah bagi peluang.

Dia terkejut! Nampak saja dia, air mata aku automatik keluar. Haih. Mulalah buat drama. Dia pandang aku lama. Sama-sama dia. Tak tahu bagaimana nak cakap. Alah, cakaplah Bella. Tak susah pun sebenarnya. Ego tu cuba jangan tinggi melangit. Ingat kan balasan isteri yang menyakiti hati suami?
            “Buat apa?” Tu soalan mukadimah aku.
            “Study.”
            “Oh.” Aku bersandar ke dinding. Apa nak cakap lagi?
            “Nah.” Dia sua tisu. Seriously, lelaki bawak tisu? Aku pandang dia atas bawah.
            “Lap air mata tu. Tengok drama korea ker apa sampai sembab mata.”
            Aku tarik muncung. Drama korea hang la!
            Nangis sebab awak, tahu.
            “Orang datang sini untuk belajar. Bukannya guna internet free untuk download entah apa-apa.” Dia mula berleter pulak. Aku garu kepala yang memang tak gatal.
            “Dah tahu tak ada kelas cuba manfaatkan elok-elok.” Kecik besar kecik besar aku pandang dia. Tak ada ruang nak mencelah langsung. Aku rasa dah nyawa ikan ni, dia punya mesingan.
            Cium kang mamat ni!
            “Arsh...” suara perempuan memanggil.
            “You...” Perempuan tu pandang aku. Dengan soalan diam, siapa awak?
            “Junior.”
            Junior hang!
            Terus aku patah balik. Dari hajat nak minta maaf, penyudahnya aku yang sakit hati sendiri. Terbakar rentung dah ni.
            Dia tu datang library, boleh pulak dating.

            Mana aci!

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...