Wednesday, April 05, 2017

#isabella - BAB 16

Kepala yang mula berdenyut-denyut aku picit perlahan-lahan sambil memejamkan mata. Ni semua gara-gara seminggu dua yang terlalu hectic. Rasa macam nak belah badan ni berkeping-keping. Menyiapkan tugasan, kemudian ulangkaji untuk pop kuiz yang tahu-tahu sahaja muncul menyesakkan jiwa dan raga. Dengan penulisan tesis yang sudah hampir 70 peratus. Mujurlah pensyarah penyelia aku jenis sporting. Kalau jenis suka reject proposal dengan literature review, aku jamin aku drop je. Ambil semester depan, semata-mata untuk tesis ini. Tapi, itulah. Degil banyak kat diri aku ni. Nak juga habiskan semester ini. Sesungguhnya, aku dah tak sabar nak tamat belajar.

Skrin telefon yang aku letakkan berhampiran dengan komputer riba menyala dan bergetar. Dengan malas aku celikkan juga mata. Mesti budak-budak ajak aku balik rumah sewa. Yelah, yang lain masing-masing ada hal. Aku saja pilih nak hibernate dalam perpustakaan ni.

A.Hitler!

Gulp. Cepat-cepat aku tegakkan badan. Alamak, abang sayang telefon. Aku ni sejak dua menjak ni memang malas betul nak pegang telefon. Sampaikan bateri telefon pun DD yang tolong charge bila dia tahu telefon aku mati berhari-hari. Punyalah pemalas. Bab telefon along lagi best. Selalu sangat masuk voice mail sebab telefon aku selalu misplaced dan tiada bateri. Nak suruh aku telefon dia semula, berjanggutlah orang tu menunggu. Penyudahnya, dia yang akan telefon aku.

Salam kuberi terlebih dahulu. Suara seksi di talian sana menyambut sebelum ketawa. Eh, dah kenapa pulak. Rindu sangat-sangat eh dengan puan isteri ker?

“Kenapa muka dah macam tapir hilang laki?” Ewah, soalan dia. Saja nak bagi aku sentap ker apa. Haih. Aku meraba muka sendiri. Ada macam tapir hilang lakikah? Err, macamana rupa tapir hilang laki ek? Along Hitler ni, kan...

“Jahat eh... suka mengusik Bella.”

Along ketawa-ketawa lagi. Aku geleng kepala. Suka betul dia hari ni. Menang loterikah? Nauzubillah, ke situ pula fikirnya. Mujurlah dia boleh gelak-gelak. Mahunya kalau dia telefon kemudian marah-marah, macamana? Kau juga yang sentap sendiri.

Aku membetulkan sila atas kerusi belajar ini. Tangan kiri kubawa menompang dagu. “Rindu abang tak?” Soalan polos itu mampu buat aku garu kepala. Takkan nak bagitau, tak sempat nak rindu. Ngeee... Naya aku. Merajuk satu hal. Nak memujuk dua tiga hal. Macamlah aku ni rajin sangat bab nak pujuk orang tu. Hati aku yang selalu merajuk pun aku selalu buat tak kisah je. Soalan along aku jawab dengan gelak-gelak.

“Tu dah berapa hari tak mandi? Selengga semacam je. Dah rupa makcik-makcik jual tepung bungkus pasar malam dah abang tengok.”

Terus tegak badan aku. Abang tengok? Tu ayat akhir dia. Maknanya dia ada dekat sinilahkan? Aku letakkan telefon. Jatuhkan kaki dan berdiri. Membetulkan uratlah konon-kononnya padahal mata tu sibuk mencari tukang mengusik. Mana entah dia menyorok. Mujurlah sini aras paling atas sekali. Jarang student nak bertapa sini. Antartika kubikel!

Di hujung sana, tepi tingkap ada susuk tubuh sedang merendahkan diri. Terus aku sarung kasut dan melangkah ke sana. Sampai sahaja dekat kubikel kecil itu aku ketuk perlahan. Dia angkat muka dengan tersengih-sengih. Sejak bilalah dia ada dekat sini, sampai aku pun tak sedar. Itulah kau Bella, kalau dah study... gempa bumi pun kau tak sedar ek.

Along tarik kerusi dekat sebelah, rapat ke kerusi dia. Nak tak nak aku duduk juga dekat situ. Ini kalau Pakcik Akhtar yang juga pegawai perpustakaan nampak, ada yang dapat surat peringatan. Sini perpustakaan bukan tempat dating. Tapi, ada je yang tambah fungsi perpustakaan. Tempat memadu kasih. Sekali kena tangkap, padan muka. Selalu juga aku nampak dekat aras ni. Mungkin sebab tak ramai yang akan naik sini, jadi senanglah mereka nak berdating bagai. Bila kena ambursh, redalah sebulan dua. Lepas tu, jadi lagi. Haila...

Aku hulur tangan. Salam along. Dia senyum. Ambil berkat dan reda suami kaedahnya. Kut-kut hilang semua stress yang bersarang dalam kepala otak aku. “Ni kalau kena tangkap dengan Pakcik Akhtar macamana?”

Along gelak. “Halal.” Mudahnya betul jawapan aku. Pakcik Akhtar tu dia bukan kira, halal ker haram. Yang dia tahu ini perpustakaan!

Along sentuh kepala aku. Gosok perlahan. Harap-harapnya CCTV dekat atas ni rosak! Merah padam dah muka aku. Along ni pun, nak lepaskan rindupun tak beragak-agak. Public ni Cik Abang Sayang oii. Kena tangkap kering karang, habislah.

Kemudian tangan along naik membetulkan tudung syria aku. Nampak sangat senget bengetnya sampai aku sendiri pun tak perasan. Cermin mata aku dia tanggalkan letak atas meja kubikel. “Pejam mata.” Pulak dah, Dia nak buat apa ni? Janganlah, semester akhir. Rekod aku masih lagi bersih.

“Pejam mata cepat. Nanti abang cium karang!” Dia main ugut-ugut pulak. Mana aci!

Aku pejamkan juga mata dengan hati yang berdebar-debar. Kemudian terasa ada jari jemari yang menari-nari atas kulit muka aku. Ini bukan membelai manja cara menggoda. Ini lebih kepada mengurut untuk mengurangkan ketegangan. Aku tahu sebab Angah Diba selalu juga buat dekat aku kalau balik kampung. Wah, rupa-rupanya along pun pandai buat terapi ni. Ngee... Nampak sangat aku stres! Lama-lama kemudian aku mampu menarik nafas yang teratur. Rasa kurang stres. “Haa... baru cantik isteri abang.”

Bisik along betul-betul tepi telinga. Terus aku celikkan mata. Dia senyum macho. Jari-jarinya dilarikan ke serata wajah. Mengeliat badan aku, geli. Dia tertawa perlahan. Hesy... gigit kang jari tu, padan muka.

“Boleh solat tak?” erk, soalan keperempuanan pulak dia tanya. Lambat-lambat aku angguk. Sekali lagi, panas muka aku.

“Jom, solat.” Dia dah bangun. Aku ternganga. Solat? Lama aku tatap muka along yang beriak tenang. Kemudian dia tarik tangan aku yang masih lagi duduk. Along ni waras ker tidak? Yelah main ajak pergi solat. Ini kat perpustakaan, kan? Dia ingat dekat mana?

“Kat bawah ada surau. Jom kita solat sunat. Dah lama kita tak solat sama-sama.”

“Sekarang?” yelah, betullah soalan aku. Pukul sebelas pagi.

“Ye sayang. Sekarang. Now!” nak tak nak aku bangun juga. Mengekor langkah along setelah memastikan telefon dan barang-barang aku dalam keadaan selamat. Berselisih dengan beberapa orang student semasa menuruni tangga ke aras yang menempatkan surau, aku sekadar tersenyum. Ada juga riak kehairanan yang aku nampak. Mungkin sebab abang shogun berjalan dekat sebelah aku. Itu belum lagi nampak along pegang tangan aku. Ada juga mata yang jatuh tergolek sampai lobi perpustakaan, agaknya. Heh.

Usai mengerjakan solat sunat dan solat sunat dhuha, barulah terasa betul-betul lapang kepala aku. Ringan sahaja. Berkat diimamkan oleh suami sendiri agaknya di sebalik tabir yang ada. “Terima kasih.” Aku melirik senyum pada along yang sedang mengenakan kasut.

“Upah ada tak?” Sempat dia senyum senget dekat aku.

“Upah apa ek?” Buat-buat fikir. Sebenarnya malas nak fikir jauh-jauh sangat pasal upah tu. Dibuatnya dia betul-betul tuntut upah, jenuh aku.

“Dalam setiap solat, jangan lupa doakan untuk abang tau.”

Tak pernah tak doakan, jawabku di dalam hati. Kata umi, sebagai isteri bila kita berdoa jangan pernah melupakan hak suami yang itu. Sentiasalah mendoakan kesejahteraan suami. Tidak mustahil, suami juga akan berbuat begitu juga untuk isterinya. Sama-sama mendoakan, itukan kunci bahagia.

Along cubit pipi aku. “Makin tembam pipi Bella ni.”

Aku tarik muka. Gosok pipi. “Gemuk ker?”

Along geleng kepala. “Comel.” Ayat beli jiwa sungguh. Mujurlah sini tak ada orang. Suka hati dia saja nak cuit sana sini. Alah, habis semester nanti aku dietlah. Musim tengah stres dengan segala mak nenek pasal studi ni, biarlah aku ternak lemak. Apa taknya, stok jajan melambak dekat rumah. Pantang stres, cari makanan.

“Jom, nak sambung studi.”

Along berdiri berhadapan dengan aku. Memegang tangan aku. “Jaga kesihatan. Studi smart bukan studi hard.” Pesannya yang disusuli dengan satu ciuman dekat ubun-ubun aku. Aku pejamkan mata untuk menikmati suasana ini. Tak tahulah kenapa, rasa sebak saja. Dulu-dulu arwah daddy selalu pesan begitu pada aku. Sekarang, pesan yang sama cumanya terbit dari bibir suami pula.

“Ehem!” suara garau membuatkan aku tersentak. Terus celik mata. Pusing kanan. Alamak... Pakcik Akhtar!

Sumpah, aku dah kena sawan senyum. Sejak tadi lagi, tak boleh nak hentikan senyum dekat bibir aku. Ini semua along punya pasal. Kat depan surau pun boleh jadi tempat mengayat isteri. Kena tangkap dengan Pakcik Akhtar pulak tu. Habislah rekod mak, nak!

Mujurlah along suruh aku pergi dulu. Sempat lagi dia bagi isyarat minta aku cium tangan dia. Dengan malu-malu, aku buat juga. Pakcik Akhtar pandang aku semacam aje. Ala... jangan pitam ya pakcik. “Akhtar!” Along sebut nama terus. Kemudian kedua-duanya berjabat salam dan berborak macam kenal lama. Hmmm...

Pelikkan?

Eh biarlah along kawtim dengan Pakcik Akhtar. Janji rekod mak, bersih dan suci!

Sekarang aku dekat rak hujung. Buat apa kat sini ya? Sinikan rak untuk buku rujukan kursus pengurusan. Okey, aku salah parking pulak. Virus cinta along ni buat aku jadi tak betul. Sabar Bella. Tak lari suami dikejar. Belajar betul-betul. Habiskan semester ni dengan keputusan cantik. Tunjukkan yang kau pun boleh!

Baru nak melangkah, telinga menangkap suara yang aku kenal. Eh? Takkan angau sampai begini sekali. “Arsh... do you miss me?” Suara tu sebut nama Arsh. Dekat kampus ni ada lagi nama pelajar Arsh selain dari... along?

“Excuse me...” Okey, itu suara along. Tangkap terus ke jantung.

“Rissa rindukan Arsh. Rindu sangat-sangat. Rissa balik sini, datang sini sebab nak dekat dengan Arsh. Nak pulihkan hubungan kita.” Suara perempuan itu meyakinkan aku pada satu nama sahaja. Tiada suspek lain.

“Rissa sudah insaf. Liss tahu Liss salah sebab lukakan hati Arsh dengan perbuatan gila Rissa tu. Tapi, percayalah... Liss rasa sedih sangat sebab buat Arsh kecewa. Rissa dah kembali sekarang. Please Arsh... cinta kita kuat, kan?”

Aduh, lemah gemersiknya suara. Sikit lagi boleh upgrade kepada tone menggoda suami orang tu cik pensyarah oii. Aku sendiripun tak berani nak buat suara nada begitu. Dia boleh buat pulak! Saja cari pasal betul. Aku mengertap bibir, tanda menahan marah.

Terdengar suara along ketawa. Sinis. Ketawa ala Hitler. Ketawa bukan sebab lucu tapi sebab hati dia sakit. Alah, kita pun pernah juga buat.

“Antara aku dan kau, over. Kalau kau tak faham maksud over, paling mudah... kisah kita dah lama tamat. Bab kau buat hal semua tu, aku dah tak fikir. Benda dah jadi. Sebagai manusia, aku maafkan kau. Part yang kata cinta kita masih ada tu, aku rasa kau kena banyak solat tengah malam. Bagi tenang  dan waras sikit otak kau.”

“Arsh...” Ewah, buat suara sedih pulak!

“Kau kenal aku. Dan aku rasa aku tak perlu cakap banyak-banyak dengan kau pasal ni.”
\
Terselit rasa lega bila dengar ketegasan along. Kalaulah along tunjuk perangai kucing parsi dia dekat perempuan ni, memang aku yang akan naik gila nanti. Sekarang, biarlah. Biar along settle masalah dengan perempuan tu. Curiga? Umi kata kita kena yakin dengan suami kita. Jadi, aku pegang yang itu.

Yakin, along takkan buat benda bodoh!

Aku susun langkah perlahan. Bila sampai dekat hujung rak, lengan aku ditarik tanpa suara. Terkejut juga tapi bila terpandang wajah yang buat perangai tak semengah tu, tak jadi nak marah sebab aku rasa aku yang bakal kena marah atas tuduhan mencuri dengar perbualan antara bekas-bekas kekasih itu.

“Come...” Along tarik tubuh aku yang masih terkejut lagi. Dia bawa aku menghampiri... Marissa. Macamana along boleh tahu aku dekat situ ya? Ker kat badan aku ada cip penjejak sebenarnya? Manalah tahu, zaman teknologi ni kan.

Marissa buat muka hairan. "Kenalkan, Bella."

"Adik angkat Arsh ker?" Amboi makcik! Ada rupa adik angkat bekas tunang awak ker? Aku hela nafas panjang. Fikir dengan tenang. Orang macam ni memang pandai provok. Jadi, aku kena sabar.

Along peluk bahu aku, dan aku pun tayang senyum manis. Nak lentukkan kepala kat dada bidang along, kang ada pulak mata orang tu tercabut. "Buah hati Arsh yang halal." Lalalala, rasa macam satu pasukan sorak pom pom girl sedang melompat-lompat suka dalam kepala aku.

Buah hati yang halal. Punyalah sopan ayat suamiku ni.
Tiba-tiba Marissa picit dahi. Siap kerut-kerut muka. Arsh pandang aku dan aku pandang dia. Tak tahu kenapa, muka kami dah semacam. Suami isteri memang sehati sejiwa eh dalam hal-hal macam ni. "Arsh... " suaranya macam mengerang. Dah kenapa? Migrain? Mujur tak terkujat jantung minah ni.

Marissa buat isyarat along supaya memegang dia. Namun, Along angkat tangan tanda menolak. Kemudian, dia panggil beberapa pelajar yang kebetulan ada di kawasan sekitar. "Tolong Dr Marissa... cepat!" Gesa dia sambil menarik aku menjauhi tempat kejadian.

“Arsh! Arsh! Arsh!” Langkah kami berdua makin cepat. Rasa macam dia nak ajak aku terbang je. Haila suami. Takut sangat dengan perempuan tu. Takut kena goda kut. Ngee...

"Dia ambil PhD dalam seni teater ker drama tu?" Bisikku. Along geleng kepala kemudian tarik senyum lawa, dia jentik manja hidung aku.

"Bukan main eh..." Aku sengeh.

“Macamana tahu Bella kat situ?”

“Abangkan suami... pernah dengar pasal true love tak? Kata mat saleh, bila kita betul-betul jatuh cinta, kita boleh rasa di mana saja orang yang kita cinta. Jauh atau dekat, kita pasti akan tahu. Sebab dia pegang kunci cinta.”

Aduh, mohon aku jangan tersandung anak tangga dek ayat-ayat Romeo bershagun ini!

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...