Wednesday, April 05, 2017

#isabella - BAB 17

Usai mengerjakan solat maghrib, aku meluruskan tubuh dengan bersandar dekat tepi dinding. Dua tiga hari ni, terasa penat sangat badan. Macamlah aku buat kerja teruk mengalahkan buruh binaan bina bangunan. Padahal aku belajar aje kut. Eh, bukankah orang kata, manusia yang bekerja menggunakan otak adalah lebih tahap kepenatannya berbanding kerja yang menggunakan tenaga fizikal. Heh.
Bab penat tu satu hal. Ini lepas je solat maghrib, mata dah mula nak shut down. Pantang letak kepala, pejam je mata. Memang solat insya aku pukul lima pagi esoknya. Pernah juga aku lepak-lepak dengan budak-budak serumah ni tengok televisyen, konon nak hilangkan tekanan belajar, belum lima minit, aku dah terlelap. Makan malam pun aku tak ambil. Sebab tu sekarang ni, pukul lima ke enam petang aku akan makan siap-siap dekat kafe fakulti.
Aku pejamkan mata. Bunyi ketukan pada pintu, memaksa aku mencelikkan semula mata. Tersembul muka DD dengan senyuman. Dia masuk dan melabuhkan punggung di sebelah aku. Aku sekadar senyum penat memandang dia.
“Kau okey?” Aku angguk. Suasana kembali sunyi. Akupun hilang modal untuk berborak. Haih... Apa kenalah dengan aku ni. Serba serbi jadi malas. Jin malas mana yang dok menumpang dekat diri aku.
“Seminggu ni nampak kau macam tak sihat. Dah pergi jumpa doktor? Mana tau ada something wrong somewhere?” lembut suara DD menanya. Aku sandarkan kepala ke dinding. Pening pula rasanya. Betullah tu agaknya kut. Aku kena pergi buat medical check-up. Mana tau memang aku ada penyakit teruk-teruk ker.
“Aku rasa penat sangat.” Luahku sambil mengurut dahi.
“Stress?”
Aku angguk. Mungkin juga stress melampau. Padahal aku rasa level aku belajar sama je macam semester lepas-lepas. Tak ada kurang tak ada lebihnya pun. Tapi terasalah juga tahap kepenatan melampaunya. Ker nak salahkan cuaca. Kan cuaca panas sekarang. Mungkin itu antara faktor badan aku buat perangai.
“Kalau kau tak sihat, kita pergi klinik. Bagitau je bila, aku temankan. Okey?” Muka DD bersungguh-sungguh. DD yang aku kenal sejak matriks memang sangat baik orangnya. Cukup mengambil berat. Dia kat rumah ni pegang title ibu rumah. Kalau ada antara kami yang tidak sihat, dialah yang akan jadi nurse dengan doktor tak bertauliah.
DD keluar dari bilik setelah kami berborak sekejap tentang perihal penulisan tesis. Yelah, masing-masing sibuk dengan perkara yang sama. Elok sahaja aku sidaikan telekung, telefon aku berbunyi. Skrin yang tadinya kelam, menyala. Sempat mata aku mengerling ke jam dekat meja. Baru pukul lapan malam. Takkan along. Sebab selalunya along akan telefon aku terus. Dia dah tahu, kalau bagi WhatApps, alamatnya esok atau lusa baru aku balas. Terukkan aku? Ngee... Nasiblah dapat isteri pemalas tahap apa entah.
Pesanan WhatApps. Sebaik sahaja pesanan itu terpampang depan mata, aku terkedu. Setiap baris ayat antara dua manusia dalam screenshot yang dihantar aku baca tanpa skip walau satu patah perkataan dengan hati yang berdebar-debar. Badan pun mula rasa panas. Nak kata demam, bukan. Lebih kepada kesan daripada membaca pesanan yang masuk tanpa izin dalam telefon aku ini.
Tiga screenshot.
Semuanya tentang satu hal.
Cinta pertama.
Ayat terakhir; I love you, Rissa.
Bingkas aku bangun, tolak pintu bilik air. Di depan sinki, aku mengeluarkan segala rasa yang bergulung-gulung dalam perut aku, kemudian naik ke tekak. Sampai meleleh-leleh air mata aku. Menderu air dari paip yang aku buka. Menghanyutkan sisa-sisa kotoran dalam sinki ke saluran paip. Tapi, rasa kecewa aku tetap tidak hilang-hilang!
Aku pandang muka yang sememeh depan cermin. Bencinya bila kemarahan aku menjadi air mata!
Mujurlah bilik air dalam bilik dan Elia berkampung dalam bilik DD. Kalau tidak, tak tahulah aku mana nak lari untuk melempiaskan rasa yang ada ini. Kantoi dan aku sendiri belum lagi bersedia untuk menceritakan rahsia terbesar aku kepada mereka semua.
Nafas aku hela dalam-dalam. Pejam mata, cuba kosongkan fikiran aku.
Bella, ingat... kepercayaan dan kejujuran adalah asas penting dalam rumahtangga. Tanya hati, kau percaya ker dekat screenshot tu ker atau kau percaya dekat suami kau? Zaman teknologi sekarang macam-macam orang boleh buat. Lagipun, depan kau hari tu along tolak mentah-mentah perempuan tu, kan?
Tapi, perempuan tu cinta pertama dia. Bukankah orang kata, cinta pertama itu adalah cinta yang takkan hilang dari ingatan manusia. Cinta yang dibawa sampai ke mati. Cinta yang paling berwarna-warni dalam hidup seorang manusia. Dan, Marissa itu adalah cinta pertama along. Aku? cinta yang entahkan cinta entahkan tidak. Lelaki, kita tak boleh letakkan kepercayaan 100 peratus. Terkadang kena tinggalkan juga lima peratus untuk dikecewakan. Supaya bila kita ditimpa dengan situasi yang menyakitkan hati sebegini, kita takkan jatuh terduduk yang tak termampu untuk bangun semula.
Selesai membersihkan muka, aku bawa diri ke katil. Capai telefon. Mencari nombor along. Mungkin, sudah sampai masanya untuk aku terima hakikat sebenar. Aku hanyalah penerima sisa-sisa cinta along. Ceh, drama!
Deringan sampai lima kali. Berakhir dengan panggilan aku dimasukkan ke voice mail. Haih. Sibuk sangat bergayut dengan kekasih hati ya? Hati mula panas. Berdesup rasa marah sampai ke kepala, dan sekarang aku kembali rasa pening lagi. Sekarang jugalah segala macam penyakit singgah. Haila...
Tak lama kemudian, telefon aku kembali bergegar. Sengaja aku biarkan sampai deringan terakhir. Padan muka dia! Sesi balas dendam pulak jadinya. Biarlah apa nak jadi pun. Tiba-tiba pulak aku jadi macam emo sangat. Ni semua gara-gara... Haih, tak nak sebut nama dia. Buat sakit hati aku saja!
Tapi, telefon aku berbunyi lagi. Nampak gayanya along ni memang serah diri malam ni. Aku ambil telefon dan leretkan jari dengan kasar. “Huh, nak apa?” Memang susah betul aku nak control diri aku sekarang. Kalau orang nak kata childish, kata jelah. Patutnya bila dah kawin,makin matang. Ini macam lagi macam budak-budak.
“Assalamualaikum.” Aku merengus. Sengaja nak tunjuk perasaan, sekalipun dia tak nampak tapi dia boleh rasa.
“Apa apa?” Salamnya aku tak jawab.
“Dah solat?”
Kemudian aku terdengar dia terbatuk-batuk. Nak tagih simpati aku ker? Pergilah tayang muka kesian dekat Marissa. Ker memang dah mengadu dekat perempuan tu. Jadi, aku ni? Pilihan terakhir. Huh!
“Tadi, Bella call abang... kenapa ya?” Barulah aku perasan, suaranya sedikit serak.
“Takkan nak call suami sendiri pun tak boleh? Sampai nak kena buat appointment semata-mata nak call suami. Sibuk sangat ker? Sibuk dengan urusan personal atau study?” Balasku umpama serangan mesingan. Meluahkan dengan sepenuh perasaan.
“Sayang...” Ayatnya tak habis sebab dia terbatuk-batuk semula. Hati muka dijentik dengan rasa kesian tapi separuh hati lagi masih lagi berkeras. Tak tahulah kali ni, bapak syaitan mana yang bertenggek atas kepala aku. Menghasut aku supaya menjadi kurang ajar sampai begini.
“Saya penat. Nak rehat.” Talian aku putuskan sebelum sempat along bercakap. Kemudian aku off telefon. Senang cerita! Yelah, tentu-tentu dia tak dapat nak menghubungi aku. Budak-budak dalam rumah ni, dia mana nombor telefon mereka.
Tiba-tiba sahaja pintu bilik aku dibuka dari luar. Muncul DD dengan wajah risau. “Bella, kau okey ker?” Eh, suara aku tadi sampai ke luar ker? Rasanya belum tahap aku menjerit kut.
“Okey.” Jawabku dengan malas-malas. Kemudian aku baringkan tubuh. Tarik selimut. Tidur! Bunyi daun pintu ditutup meyakinkan aku, DD sudah keluar. Tidak semena-mena, keluar air mata aku. Ya Allah, kenapa dengan diri aku ni?
Abang, maafkan Bella!
Kalaulah dia mampu dengar kata-kata yang lahir dari lubuk hati aku ini.
Sudah seminggu aku tidak mendengar cerita tentang along. Panggilan telefon juga tiada. Malah, kelibatnya juga seolah-olah lenyap dari kampus. Aku mula dihambat dengan seribu satu rasa bersalah. Teringat perangai kurang ajar aku malam itu. Semuanya sebab screenshot yang entah betul entah tidak.
Dua tiga hari selepas itu, DD ada tunjukkan dekat aku satu aplikasi WhatApps Clone. Dekat sini, pengguna boleh mereka perbualan seolah-olah wujud perbualan antara dua atau lebih pengguna. Masa DD bagitahu aku pasal ni, terus aku tergamam. Mungkinkah screenshot yang aku terima itu hanyalah rekaan semata-mata. Niat yang jelas, mahu membuatkan hubungan aku dengan along retak. Kalau betullah itu niatnya, ternyata dia berjaya.
Menggoyahkan kepercayaan aku terhadap suami aku yang langsung tidak bersalah. Dan, mulai itulah aku menjadi perindu bersalah. Nak telefon dia pula, aku rasa malu. Cadangnya mahu bertemu muka terus. Tapi rasa takut tu menebal. Tentu-tentu along marah dekat aku. dan rasanya kalau along marah aku, tak tahulah macamana aku nak hadap kemarahan along.
Tengah aku mengelamun sambil berdiri macam tugu, bahu aku dilanggar kasar. Habis terjatuh buku di tangan. Aku mendengus marah. Buta ker apa? Aku yang sebesar anak gajah ni dia tak nampak. Baru nak bukak mulut, terus aku kunci cepat-cepat mulut.
Zikr!
"Abang nak kena cepat. Sorrylah, sampai terlanggar Bella. Nak balik cepat-cepat sebab nak tengok housemate abang tu... si Arsh... demam panas teruk. Sampai tak bangun-bangun." Aku telan liur mendengar setiap ayat Zikr tanpa skip satu pun. Aku dah rasa tak sedap hati. Along Hitler sakit?
“ Bella okey, kan? Tak ada cedera, kan?” Hati Bella dah cedera parah ni!
"Okey, abang pergi dulu. Malam ni pula nak balik kampung pulak, ada hal. Hai, kesian betul dekat Arsh tu. Terpaksalah abang tinggalkan dia sorang-sorang. Nak buat macamana, abang ada hal penting dekat kampung. Bella boleh tolong tak?"
“To... Tolong apa?”
Zikr senyum pendek. Matanya merenung tepat muka aku. “Tolong tengokkan Arsh ya. Manalah tahu benda nak jadi. Macam-macam boleh jadi. Nyawa manusia, faham-faham ajelah. Nak mati tu bila-bila masa boleh.” Aku telan liur yang terasa kesat. Nada suara Zikr ni memang berjaya memancing rasa bersalah dalam hati aku. Sumpah! Rasa menggeletar seluruh badan.
“Nanti, Bella ajak kawan-kawan pergi. Siapa tu... DD, Elia semua tu la. Temankan Bella. Kang berdua, kena tangkap basah pulak.” Dia tergelak sendiri. Aku? Nak ajak semua tu? Uhuk, tak yakin pulak aku dengan usul Zikr ni. Tu suami aku, tak perlulah sampai nak buat rombongan Mak Jemah pula nak pergi jenguk.
Isteri dia ada!
Berpandukan alamat yang Zikr bagi, akhirnya aku sampai ke rumah teres setingkat ini. Sebenarnya inilah kali pertama aku sampai. Along pernah bagitau aku dia duduk di mana. Tapi, aku tak ambil port sangat. Ngeee...
Aku sampai betul-betul lepas maghrib. Sempat aku solat dekat surau yang berdekatan sebelum sampai di sini. Sebenarnya aku nak datang betul-betul lepas asar tadi, tapi penyelia pula nak berjumpa dengan aku. Penulisan tesis aku ada sedikit ralat dan perlu dibetulkan. Mujurlah tidak banyak mana.
Sudahnya, barulah aku sampai di sini. Lampu rumah terpasang menandakan ada penghuni dalam rumah ini. Lambat-lambat aku bukak pagar besi dan memasuki laman rumah itu. Betul-betul di hadapan pintu, aku mendiamkan diri. Bagi salam atau ketuk? Barulah aku terperasan, kiri kanan rumah ni adalah rumah yang berkeluarga. Yelah kalau ada kain baju kanak-kanak dan bayi dekat ampai. Kemudian ada pula mainan kanak-kanak.
“Assalamualaikum.” Suaraku tidaklah kuat. Aku ketuk juga pintu. Salam aku beri untuk kali kedua. Ish, mana pulak along ni. Ker dah... Haih, nauzubillah. Apa kau fikir tu Bella? Cubalah fikir yang baik-baik saja.
Baru nak bagi salam untuk kali ketiga, pintu terkuak dari dalam. Tampang itu nampak terkejut melihat aku yang dah jadi patung. “Bella!”
Reaksi aku?
“Abang...” Terus meleleh air mata. Tangannya aku sambut salam dan cium, moga-moga luruhlah dosa aku yang bertimbun-timbun ni. Rasa jahatnya aku sebagai isteri along. Tak ambil tahu pasal suami yang demam sekerat macam ni.
Along tarik aku dalam pelukannya. Terasa berhabanya badan suamiku ni.
“Dah... jom masuk.” Aku ikut sahaja, masuk ke dalam rumah itu. Mataku sempat memerhati. Ruang tamu simple. Tapi menarik. Along senyum dengan muka pucat. Tepuk kusyen sebelah dia yang kosong. Akhirnya aku duduk sebelah along. Telapak tangan naik ke dahi kemudian leher. Panas! Betullah, demam. Kesiannya abang sayang...
"Zikr bagitau Bella, abang demam ya?" Beritahu aku pada along setelah kami berdua duduk atas sofa. Sebenarnya, aku masih lagi ragu-ragu. Betul ker Zikr dah balik kampung ni? Kata Zikr tadi, lepas kelas dia terpaksa balik kampung. Kang tiba-tiba Zikr ni muncul, naya aku.
Tangan along aku capai. Tatap mata tidak bermaya along. Tangan sebelah naik ke pipi dia. “Bella minta ampun... Bella...”
Along hela nafas panjang. Tubuhnya dibaringkan dan kepalanya didaratkan atas ribaan aku. Kata umi, along kalau demam dia nak orang picit dahi dia sampai dia terlena. Kalau tak, memang tak tidurlah. Manja betul anak umi ni.
Gaya along macam tak nak cakap tentang hal aku buat perangai. Mungkin dia penat agaknya. Dia perlukan rehat. Haila Bella, orang tu demam okey. "Dah makan?" Dia geleng. Along tak bersuara. Tak ada suaralah tu.
"Nanti Bella masak. Tak sempat nak balik rumah tadi. Kat dalam rumah ni, dapur berasapkan?" Along angguk lemah. Ala kesiannya... jatuh lagi perasaan bersalah aku. Isteri apakah namanya ini. Membiarkan suami sakit sendirian.
Aku memicit dahi dia. Tanggungjawab yang aku kena jalankan lama dahulu.
"Makan buburlah yer... " Mata Along pejam. Aku tersandar ke sofa. Pejam mata, penat. Penat badan, penat emosi. Biarlah aku picitkan kepala along sampai dia terlelap. Nanti aku akan masakkan dia. Bergunung rasa bersalah, cuai dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Terpengaruh dengan hasutan iblis.
Umi, maafkan Bella sebab tak jaga anak umi dengan baik!
Tuk! Tuk! Tuk! Mata aku dengan along spontan terbuka. Kami saling memandang.
Ahh, sudah!
Dadaku berdengup dengan laju. “Assalamualaikum... Tolong bukak pintu ini.” Masa ni aku dah rasa nak pitam. Oksigen mana oksigen?

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...