Wednesday, April 05, 2017

#isabella - BAB 18




Makin teruk jadinya demam along. Jatuh kasihan pada suami sendiri. Kalaulah penyakit demam dia tu boleh dibahagi-bahagi, aku sudi untuk ambil separuh. Mungkin sebab aku tak pernah tengok along jatuh sakit. Selalunya sihat walafiat. Tapi bila dia jatuh sakit ni, teruk aku keadaan dia.

Tuala kecil aku lipat dua. Kemudian celup dalam besen berisi air. Perah. Letak semula atas dahi dia. Matanya yang pejam terbuka sedikit, aku senyum tawar. Usap pipinya yang sedikit suam. Kesian suamiku.

"Abang tidur sekejap ya. Bella nak masak."

Along macam tak nak lepaskan tangan aku. Digengam kemas. Terasa berhaba panas dari telapak tangan dia. "Abang kena makan. Nanti teruk lagi keadaan abang. Lepas makan bubur, kita makan ubat ya. Bella tak nak abang masuk hospital."

Aku tahu along mahu membalas kata-kata aku tapi dia tidak terdaya. Sudahnya dia hanya memejamkan semula mata dan tanganku dilepaskan semula. Setelah mengemaskan posisi along, aku menyarungkan tudung dekat kepala.

Sempat aku pandang along sekilas sebelum aku melangkah keluar dari bilik. Langkah kubawa menuruni tangga dengan lambat-lambat. Sebenarnya aku pun penat juga. Penat dengan kondisi badan sendiri kemudian penat menjaga kondisi badan orang lain. Tapi, kena buat-buat tak penat, nanti along pula risaukan aku.

"Bella." Pada yang memanggil, aku hulur senyum hambar. Nak marah pun tak mampu sebenarnya. Kalau nak diikutkan dengan rasa terkejut, semua tu mampu membuatkan aku menghadiahkan penampar pada lelaki ini. Geram betul jadinya!

"Arsh dah okey?" Aku angguk sebelum melabuhkan duduk di sofa yang satu. Tahu, riak muka dia terpeta perasaan serba salah dengan apa yang telah jadi. Itulah pandai-pandai sendiri lagi. Mujurlah along tak bagi penumbuk walaupun aku tahu dia berkeinginan nak buat begitu. Merah menyala dah tadi cuping telinga kawan tu sebaik sahaja kami Nampak muka dia di kalangan tetamu-tetamu yang tidak diundang tadi.

Aku pun sama juga. Marah dan geram betul dengan ulah manusia yang sorang ni.

"Abang nak minta maaf atas apa yang jadi."

Senangkan, buat salah minta maaf. Lepas tu buat lagi. Aku ni cukup pantang dengan orang berbohong!

"kenapa buat macam tu?"

"Sebab abang sayangkan Arsh." Terus terbeliak mata aku. Sayangkan Arsh? Nauzubillah, gay ka? Itu sahajalah yang terlintas dekat kepala aku. Takkanlah... mataku sempat mengitari muka dan badan Zikr.

"Haih, Bella jangan salah sangka. Bukan macam tu maksud abang..."

"Dah tu?" Dia sendiri kut yang cakap dia sayangkan Arsh. Dah tu? Sayang lagu mana.

"Sayang sebagai sahabat dunia akhirat. Abang straight la Bella."

Aku pandang muka dia. Nampak gaya tu memanglah tak ada cirri-ciri lelaki gay. Tapi, manalah tahu. Bijak pandai sekarang ni, pandai sorokkan bab-bab sensitive macam ni, kan?

"Abang sayangkan Arsh dan Bella. Abang dah lama kawan dengan Arsh. Abang pun dah lama kenal dengan Bella. Jadi, abang terpaksa buat semua ni. Kalau nak tunggu Arsh bukak mulut, pokok pisang depan rumah pun takkan berbuah dua kali. Arsh takkan bagitau pasal Bella yang dah sah jadi isteri dia."

Berkerut kening aku.

"Arsh pernah kecewa dalam bercinta. Hati dia diletakkan 100 peratus kepercayaan dan kesetiaan pada perempuan itu. Sayangnya perempuan itu langsung tak tahu nak menghargai lelaki sebaik Arsh. Sanggup dia mengecewakan hati Arsh. Kesian Arsh. Kalaulah Bella boleh Nampak kekecewaan Arsh yang dah menjadikan Arsh seperti patung bernyawa. Kesian sangat, Bella."

Okey, cerita ini sama dengan cerita yang aku dengar dari mulut angah diba. Jadi? Persamaan yang amat jelas. Soalnya, macamana Zikr ini boleh tahu dengan terperinci?

"Lepas apa yang jadi, Arsh susah nak percayakan perempuan. Dia jadi macam benci sangat dengan makhluk perempuan ni. Betul Bella. Abang tak tipu. Dia macam berdendam sangat-sangat dengan perempuan. Mana-mana perempuan yang datang menghimpit memang sengaja cari pasal. Pernah sekali tu, perempuan tu siap kena maki lagi dengan Arsh. Sampai menangis budak tu kena. Yang abang tahu, budak tu minta ditukarkan sebab dah malu nak duduk satu department dengan Arsh. Sampai macam sekalilah perangai Arsh dengan kaum perempuan ni."

Aku telan liur. Teringat masa mula-mula kawin dulu. Betapa Nampak sangat dinginnya along dengan aku. Jangankan kata nak senyum, pandang aku pun gaya nak bunuh orang. Pergh, masa tu aku rasa bila-bila masa saja aku boleh mati kejung begini. Mujurlah dia berperangai begitu sahaja. Kalaulah tangan dan kaki dia pun sama juga spesis dengan muka dia, memang dah lama aku humban dia dalam penjara.

"Bila abang tahu dia kawin dengan Bella..."

"Cup, macamana tahu?" Aku canta ayat Zikr. Nak tahu sangat-sangat!

Dia senyum. "Abangkan sayang Arsh..."

Membulat mata aku pada muka Zikr. Gaya dia sebut tu buat aku nak muntah!

Zikr gelak kecil. "Dia tercicirkan sijil nikah korang. Err... dekat dalam tong sampah... Abang terjumpa."

"Haah?!"

Along Hitler!!!! Rasa nak menjerit aje. Tu bukannya tercicir namanya. Itu dah mencampakkan ke dalam tong sampah. Sampai hati along!

Terus monyok muka aku. Siapa tak sedihkan? Sekalipun surat nikah tu pada orang hanya sekeping kertas, tapi bagi aku itu adalah sijil halal antara aku dengan along. Macam dia tak reda dengan ikatan halal ini. Kejam gila. Laki siapa ni?

Laki Bella!

"Abang perlu selamatkan Bella dengan Arsh daripada seseorang."

Aku tegakkan badan. "Siapa?"

"Marissa."

"Dan abang siapa?"

"Abang sepupu Marissa!"

Okey, aku nak pitam sekarang!
Aku membantu along duduk dengan menyandarkan bantal bagi menyokong tubuhnya. Haba badannya juga sudah berkurang. Tiada komunikasi antara kami berdua. Tapi aku perasan, along hanya menelek setiap inci wajahku. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin dikatakan.

Bubur yang berasap nipis dalam mangkuk kecil aku ambil dari atas meja kecil tepi katil. Kemudian aku kacau perlahan-lahan. "Bismillahirrahmanirrahim..." aku halakan sudu dengan sedikit bubur yang aku ceduk kea rah along.

Sudu betul-betul depan bibir dia, namun bibirnya masih lagi tertutup. Hanya mata sahaja yang menatap wajahku sedari tadi. Penat menunggu hampir satu minit, sudahnya aku kembalikan sudu ke dalam mangkuk semula.

Mangkuk aku letakkan semula atas meja kecil tadi. Sudah berkira-kira mahu bangun sebab mata aku kian panas. Ada air yang bertakung pada birai mata. Sedikit masa lagi, pasti ada hujan lebat yang turun!

Namun, along terlebih dahulu menyambar lenganku dan memaksa aku untuk duduk semula. Mahu tak mahu, aku duduk jugalah semula. Mata oh mata, please janganlah tunjuk perangai kurang matang kau sekarang ini.

Tangan aku kedua-dua belah kemas dalam gengamannya. Seolah-olah dia nak ikat aku dari lari. "Mana Zikr?" suara along serak-serak. Aku menunduk. Tidak mampu untuk membalas renungan redup lelaki ini. Tak tahulah kenapa, lagi aku rasa marah, rasa nak membenci lagi aku rasa... penat.

"Dia balik kampung." Betul-betul dia balik ke kampung kali ini. Meyakinkan aku siap dengan bersumpah bagai. Sempat lagi dia mengusik konon nak kasi aku masa dan ruang untuk aku dan along berdua-duaan malam ni. Yalah sangat tu. Padahal nak bagi aku peluang untuk melancarkan perang sebenarnya!

"So... malam ni tinggal kita berdua?" Dalam pucat lesi tu sempat lagi dia kenyit mata nakal. Dia tahu tak yang isteri dia ni dah macam bom periuk api saja? Kau salah langkah, terpijak suis, booom!

Rentung kau, along!

"Tak. Ni syaitan banyak. Tak nampak eh." Baik punya perli aku tuturkan dengan nada yang menahan geram. Ya Allah, tolonglah sabarkan hati hambaMu ini. Janganlah sampai mulut aku mengeluarkan kata-kata yang boleh melayakkan aku dihumban ke neraka sebagai isteri yang derhaka!

Along tergelak. Telapak tangannya kasar , standard tangan orang lelaki kut. Dari cerita umi, along ni jenis berdikari. Lepas SPM, sementara nak menunggu keputusan peperiksaan, along kerja sekejap di kedai besi. Nak timba pengalaman sambil cari duit poket. Anak seorang pegawai Tadbir dan Diplomatik dan guru, sanggup buat kerja begitu. Memang aku salute. Kata umi lagi, along pandai cari duit untuk diri sendiri. Dia tidak suka meminta-minta pada umi dan arwah walid. Kemudian, lebihan duit yang ada juga dia gunakan untuk membeli keperluan adik-adik sekalipun umi dan walid mampu ketika itu.

"Bella... kenapa muka macam tu?" Okey, dia menegur dah. Maknanya dia perasan dengan perubahan tingkah aku yang mula tunjuk perangai tidak semenggah. Biarlah, memang aku nak dia perasan pun. Mudah sikit, kan.

"Makan." Aku tarik tangan aku, hajat mahu menyuap dia. Namun, along kejapkan gengamannya. Aku pandang tangan yang seumpama bergari. Kemudian naik ke muka along. Rasa macam kosong sahaja mata along memandang aku.

Nafas aku hela perlahan. "Makan, please... lepas ni makan ubat." Pujukku lagi pada along. Berharap agar dia mahu mendengar kata-kataku ini. Tiba-tiba aku diserbu rasa bersalah. Buat perangai begini masa suami tengah tidak sihat, tidakkah zalim namanya. Mungkin aku yang terlebih sensitive sampai lupa untuk bersikap wajar terhadap situasi?

"Abang tak nak makan dengan keadaan isteri abang yang marah-marah. Rasa macam makan duri je." Pulak.

"Nanti-nanti kita bincang. Sekarang, abang makan."

"Tak nak nanti-nanti, dah basi. Abang nak tahu sekarang. Bagitau aje. Kita bincang." Nah, peluang di depan mata. Terpulang pada aku untuk meneruskannya. Lama juga memikir. Kalau aku pendam, lagi teruk emosi aku. Kalau aku luahkan, risau kalau aku terlebih emosional. Macam-macam boleh jadi. Aku sendiripun susah nak percaya dekat perasaan aku. Silap haribulan aku tertengking along, dah jadi satu hal. Ataupun, aku buat drama air mata pulak ke. Malu seh.

"Baca bismillah. Abang tadah telinga ni." Along senyum. Macam bagi hint untuk aku luahkan segala perasaan tidak puas hati yang bergulung-gulung dalam hati aku. Segala risiko dia ambil nampak gayanya.

Aku kemam bibir bawah, nafas aku hela dalam-dalam. Kemudian aku pandang muka along, lama. Terasa gengaman tangan kian kemas. Haih, takut sangat aku lari ya. Haila along, isteri awak ni dah penat nak lari-lari. Dah tiada daya pun sebenarnya.

"Abang memang bencikan Bella? Benci sangat-sangat sampaikan sanggup campakkan surat nikah kita dalam tong sampah? Agaknya lepas ni, Bella pun abang akan campakkan entah kat mana-mana?" Sekali nafas, sekali harung. Dan, penyudahnya... air mata aku mengalir juga.

Aku menunduk. Tahu-tahu ada jari yang mengesat air mata yang mengalir dari jurai mata. Kemudian along tarik tubuh aku rapat ke dalam pelukannya.

"Bella, masa tu abang mengaku. Abang memang tak sayangkan Bella." Ya Allah, jujurnya jawapan dia. Sakitnya hati. Memanglah aku tahu along tak sukakan aku, yelah namanya pun kawin secara paksa rela. Dia kawin dengan aku sebab umi, sahaja. Tapi, tak sangkalah sampai sanggup buang sijil nikah tu dalam tong sampah. Rasa macam aku sendiri yang kena campak.

Aku tolak dada along. Air mata mengalir lagi laju. Rasa macam nak keluar dari rumah ni, tinggalkan dia sorang-sorang. Pandai-pandailah dia nak hidup nanti!

"Please sayang... abang betul-betul minta maaf dengan Bella."

Aku mendiamkan diri. Kalau begini keadaan aku, memang susahlah nak pujuk sebenarnya.

"Abang Cuma perlukan masa. Alhamdulillah, sekarang abang dah boleh terima Bella dengan sepenuh hati. Abang..."

"Bella nak balik!" nadaku sedikit tegas dan aku terus bangun. Malas nak dengar ayat novel cinta tujuh hari tujuh malam si along ni. Rasa nak muntah!

"Please, stay."

Aku keraskan badan. Antara dua pilihan di sini, menjadi isteri yang baik dengan kondisi hati yang sakit atau menjadi isteri yang derhaka dengan hati yang puas. Pilih Bella, pilih!

Along kemudian terbatuk-batuk dan aku tanpa menunggu sesaat terus mengurut belakangnya. "Abang sayang Bella. Sumpah!" Dalam menahan rasa sakit, dia sempat lagi bersuara. Aku diam. Tak tahu nak percaya atau tidak.

"Abang minta maaf atas semua salah abang pada Bella. Abang..." Abang terbatuk-batuk lagi. Kali ini lebih kuat lagi. Aku jadi kalut. Nampak along begitu payah sekali untuk bernafas. Kemudian dia menerkup mulutnya.

"Abang..." mataku terpaku pada darah yang ada dalam telapak tangan along!

"Kita pergi hospital!" Gesaku dengan perasaan yang sangat sakit. Ya, sakit melihat keadaan along begini. Ya Allah, aku sayang dia...

"Bella..." Along senyum dalam payah.

"Ya... Bella sayang abang..." Along angguk.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...