Wednesday, April 05, 2017

#isabella - BAB 19




Jari aku bawa memicit dahi. Sedari semalam lagi, kepala aku pening. Apa yang aku pandang semuanya berputar-putar. Hampir sahaja aku tersungkur dalam bilik air pagi tadi masa mahu mengambil wuduk. Terduduk sekejap aku atas tandas duduk bagi menghalau rasa pening.

Inipun aku sempat telan dua biji panadol yang aku minta dekat jururawat tadi. Kalau ikutkan hati nak aje aku tumpang berbaring atas katil sebelah yang masih lagi kosong. Itu kalau aku nak buat perangai tidak semenggahlah. Tapi, memalukan kaum pulak jadinya nanti. Sudahnya, aku bersyukur dengan kerusi menunggu yang disediakan oleh hospital. Jadilah, boleh juga melepaskan penat yang ada.

"Bella..." suara serak itu kembali bersuara. Dia menyentuh tangan aku. Memaksa aku untuk mencelikkan mata dan mengukir senyum hambar.

"Dah makan?" aku gelengkan kepala. Selera aku pun lari hilang entah ke mana. Perut pun rasa sebu semacam. Berangin. Harap-harap janganlah perut aku buat hal. Tolong jaga tuan kau ya perut. Kesian kat tuan kau, dah la suami sakit, jadi kau kena Bantu tuan kau untuk sihat supaya tuan kau dapat jaga suami tuan kau.

"Makanlah sikit. Abang rasa Bella tak makan sejak semalam, kan?" Aku diam. Malas nak mengaku. Sejak semalam aku tak menjamah apa pun. Minum air dalam botol mineral sahaja. Itu sahaja yang mampu masuk dalam tekak.

"Tak ada selera." Balasku sambil merapikan selimut yang membalut tubuh along dari paras pinggang.

Tingkah aku terhenti bila along melelar lenganku, memaksa aku untuk duduk di sebelahnya. "Please, jaga kesihatan Bella. Risau abang tengok muka Bella yang pucat ni."

Aku senyum ikhlas, "Bella okey. Abang tu yang tak okey. Siapa yang terbaring atas katil sekarang? Abang, kan? Jadi, Bella sihatlah."

"Degil." Dia cuit hidung aku. Senyum yang sedikit Nampak berseri. Yelah, berbotol air dimasukkan ke dalam badannya sejak dua hari lepas. Demam panas yang melampau, mujur sempat dibawa ke hospital. Kata doctor, tubuh along terhidrat akibat kekurangan air. Tentang batuk yang ada darah tu pula, kata doctor tekak along luka dari dalam. Aku ni dah membayangkan yang macam-macam.

Paling teruk, aku ingatkan along kena sakit kanser!

Haih, sampai ke situ fikiran aku. Nampak tak betapa aku sayangkan along?

"Jangan sebut degil... Tu doa tau. Cuba sebut, cantik ker baik ker rajin ker... Cukup 44 kali, inshaAllah... abang dapatlah isteri yang cantik, yang baik dan rajin."

Along gelak. "Gaya macam abang isteri lebih dari satu ya."

Zap, terus menjeling dia. Jari lagi laju. Cubit perut tuan punya mulut tak ada insuran tu. "Adoi la sayang..."

"Bukan main eh... Tak padan terbaring atas katil, ada hajat nak menambah isteri!" Okey, enjin bebel aku telah dihidupkan. Sejak bila aku pandai bebel-bebel ni ya? Entah. Aku sendiripun tak sedar. Mungkin sebab badan sudah terlampau penat, jadi suis mak-mak menyala terang!

Along gelak lagi. Aku dah tarik muncung. Meluat!

Tangan along melingkar elok pada pinggangku. Menarikku agar kembali rapat padanya. Haih, along ni buat katil hospital macam katil dekat rumah. Sukahati dia saja nak buat apa pun. Alah, aku pun melayan jugakkan? Melayan sebab penat.

"Abang rindukan suara Bella. Abang rindu nak dengar suara Bella bebel-bebel macam ni." Kalau kata aku ni tak rasa apa-apa tu memang tipu sangatlah. Jantung ni tunggu masa sahaja mahu tergolek-golek. Haih, sabar sajalah.

Itulah, masa suami tak romantic, kau kutuk dia beku, dingin, frozen dan sewaktu dengannya. Sekarang dia dah pandai romantic bagai, aku pula yang kecut perut segala. Tak tahulah kenapa, mungkin sebab aku tak jarang Nampak sisi along yang macam romeo ni. Sesekali je dia tunjuk. Mujurlah. Kalau dia tunjuk selalu, rasanya aku pula yang akan jadi muak, kan?

"Subuh tadi abang dengar Bella muntah teruk. Kenapa?" Oh dia dengar rupanya. Padahal bukan main lagi aku cover siap dengan air paip paling deras aku bukak. Pagi tadi kronik juga, muntah teruk dengan jayanya setelah aku menahan selama satu malam gara-gara menunggu along di Wad Kecemasan.

"Badan penat sangat kut."

"Yelah, Bella jaga abang. Bella risaukan abang... Kesian Bella. Abang minta maaf, abang dah susahkan Bella. Sepatutnya abang yang jaga Bella, tapi..." Dua jari aku naik tegak pada bibirnya. Mencantas ayat yang belum habis.

"Bella isteri abang. Ni tanggungjawab Bella. Sekarang masa abang, nanti-nanti masa Bella, kita tak tahu."

"Biar abang sahaja yang sakit. Abang tak nak Bella sakit. Bila Bella sakit, abang akan rasa lagi sakit. Please... jaga kesihatan Bella kalau Bella sayangkan abang." Suara along melantun-lantun dalam hati aku. Bebola matanya indah menatap. Ada jalur ikhlas yang terpancar. Kali ini aku nampak along yang jujur dalam meluahkan rasa hatinya.

"Kalau Bella tak sayangkan abang?"

Pipi kanan aku menerima habuan dari lawak mulut sendiri!

"Auch, sakitlah abang." Aku pun dah pandai nak mengaduh manja-manja. Haila... mana entah belajar. Along gosok pipi aku. Berderau darah sekali lagi. Payahlah lagu ni... pantang kena sentuh, ada je renjetan kat tubuh badan aku.

"Kalau tak sayang, Bella takkan ada di sini dengan abang. Kalau tak sayang, Bella takkan bertahan dengan abang selama ini. Jadi, celah mana yang dikatakan Bella tak sayang abang tu ya?"

Aku terdiam. Menghadam setiap kata-kata dia dengan setuju di dalam hati. Rupanya dia menelek setiap tingkah aku. Terkadang aku sendiri pun tak sedar, aku memang sayangkan dia sebenarnya.

"Jadi, jangan pandai-pandai kata Bella tak sayangkan abang. Abang sahaja yang tahu, Bella sayangkan abang."

Nafas aku hela dalam-dalam. Betullah kata orang, setiap apa yang terjadi mesti ada hikmah di sebaliknya. Antara kita sanggup membuka mata hati untuk menerima atau tidak sahaja. Terpulang pada diri sendiri. Macam kes aku, along campakkan sijil nikah, kemudian along jatuh sakit. Semuanya ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan pada aku.

Aku dan along, sama-sama sayang.

Kemudian, sama-sama pendam.

Padan muka kami berdua!

"Sayang!" Aku dan along terkejut. Mata keduanya terus pada pintu bilik yang dikuak kasar dari luar.

"Sayang! sayang!" Oh mak aku!

Terus perempuan itu menerpa dan memeluk along dan aku kaku sekejap. "Apa jadi ni sayang?"

"Eh... tepilah.. laki aku ni...!" Dia menjerit lantang! Tubuh aku ditolak. Hampir terlentang aku. Laki? Aduh, along ni... baru confess sayang!

Kemudian terdengar bising-bising kecoh di luar bilik. Tidak lama kemudian dua orang lelaki berseragamkan pengawal keselamatan memasuki bilik kami. "Maaf encik... terlepas dari wad psikitri ni."

Aduh!

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah blog ini.

#isabella - BAB 23

Hujung minggu, aku di kampung umi. Memandangkan along sudah sihat sepenuhnya, jadi umi pun mahu pulang semula ke Taiping. Kata umi, a...